Selasa, 30 Jun 2009

WAJARKAH PEMIMPIN PAS MENUDUH UMNO SESAT SETARAF AYAH PIN ATAU SEBALIKNYA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Pemimpin UMNO sebenarnya memang kuat sabar. Walaupun Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat terbarunya dalam satu ceramah di Manek Urai Kelantan menyamakan UMNO dengan ajaran sesat yang sama tarafnya dengan ajaran sesat Ayah Pin, mereka tetap menahan kesabaran.



Pemuda UMNO Kelantan telah membuat laporan polis atas ucapan Datuk Nik Aziz itu. Makna di sebalik laporan itu ialah supaya ucapan itu disiasat dan diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.

Menyamakan UMNO dengan ajaran sesat dan Ayah Pin adalah suatu penghinaan yang keterlaluan. Dalam sejarah, perbuatan pemimpin PAS menghukum dan menghina UMNO sesuka hati bukanlah baru.

Tahun 1959 muncul seorang PAS dikenali sebagai Tok Guru Haji Omar Daud dari Pasir Mas, Kelantan mengkafirkan UMNO. Haji Omar adalah ahli Jawatankuasa Ulama Pas dan wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri Bandar Pasir Mas. Beliau pernah ditahan di bawah ISA kerana perbuatannya itu.

Tahun 1963 Dewan Ulama Pas Kelantan telah mengeluarkan fatwa menghukumkan orang Islam yang bekerjasama dengan bukan Islam sebagai kafir. Fatwa tersebut berbunyi: ``Orang Islam yang berkongsi dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara menjadi kafir atau haram..''

Tahun 1978 Dewan Ulama Pas Kelantan dalam perjumpaan di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan selepas Pas keluar daripada Barisan Nasional (BN) membangkitkan semula hukum kafir terhadap UMNO. Dewan Ulama Pas Kelantan itu menuduh UMNO kafir.
Tahun 1979 Tok Guru PAS di Pondok Pasir Tumboh, Kelantan, Haji Mustafa Abu Bakar mengeluarkan fatwa semasa berceramah di sebuah surau di Hulu Besut mengkafirkan ahli UMNO.

Disebalik itu di mahkamah bahawa beliau didapati menuduh ``orang-orang UMNO dalam Barisan Nasional (BN) hukumnya murtad'' dan ``orang UMNO dalam Barisan Nasional tidak sah dijadikan imam sembahyang'', ``sembelihan orang UMNO Barisan Nasional tidak boleh dimakan'', ``tidak sah akad nikah sekiranya jurunikah itu orang Barisan Nasional'' dan ``kalau tidak bersefahaman antara suami isteri jika salah seorang Pas yang satu Barisan Nasional nescaya hukumnya tertalaklah antara suami isteri dan jika bersetubuh juga hukumnya zina, kalau dapat anak hukumnya anak zina.''



Presiden PAS, Dato’ Seri Haji Hadi juga pernah dalam fatwanya tahun 1982 menghukum kafir kepada orang UMNO iaitu apa yang disebut sebagai ‘Amanat Hadi’. Semua orang telah maklum dan tidak perlu dijelaskan lanjut mengenai amanat dan hukum yang dibuat oleh Dato’ Seri Haji Hadi itu.

Datuk Nik Aziz bukan sahaja suka membuat tuduhan yang bukan-bukan kepada orang UMNO bahkan beliau sendiri pernah mengeluarkan kenyatan melampau terhadap agama Islam Yang Maha Suci, seperti Tuhan juga samseng, Tuhan mencarut, sanggup bekerjasama dengan syaitan untuk kemenangan dan sebagainya.



Namun kata-katanya yang cukup menyinggung perasaan umat Islam itu tenggelam begitu sahaja di mamah zaman, walaupun ia cukup melampaui batasan ajaran Islam.

Semasa ajaran Ayah Pin berada di peringkat yang cukup kritikal, PAS yang menjadi Kerajaan di Terengganu tidak mengambil tindakan tegas untuk menghapuskan ajaran sesat itu. Pelbagai binaan wujud di perkampungan ‘Ayah Pin” di Hulu Besut.



Sehinggalah apabila Barisan Nasional mengambil alih semula Kerajaan Terengganu. cerek gergasi, perahu Nabi Nuh, payong kuning dan sebagainya adalah dibina sekitar tahun 2001 hingga 2003 (di zaman pemerintahan Pas) telah dirobohkan oleh Kerajaan BN-UMNO Terengganu.

Lantaran itu wajarkah UMNO disamakan dengan ajaran sesat Ayah Pin dan Pas ajaran yang betul dan tiada cacat celanya atau sebaliknya?

Sesungguhnya Datuk Nik Aziz semakin melampau apabila merasakan tiada siapa boleh mengambil tindakan ke atasnya.


Baca Selanjutnya......

Sabtu, 20 Jun 2009

E-BOOK DI TERENGGANU SUATU CABARAN

OLEH: RUSLAN ABDUL RAHMAN

“Benda guana gok e-book ni, wat pende, lepah ni dok payoh bawok buku ke gi sekolah?” demikian cakap-cakap yang kita dengar apabila Terengganu mencipta sejarah baru dalam pendidikan dengan memperkenalkan buku elektronik atau e-book.



Lagi yang kita dengar, “doh rosok dok or. Wi ke budak-budak sekolah joh lima, jatoh kang pecah hanyai, tupoh dan masuk air kang.” Petikan cakap-cakap menggunakan dialek Terengganu.


Sebenarnya itulah perkara biasa respon atau tindakbalas yang akan kita terima apabila memperkenalkan sesuatu yang baru. Ia telah banyak berlaku dalam sejarah, bahkan semasa diperkenalkan kereta buatan sendiri di awal 80an dahulu pun berbagai komen dan respon kedengaran.

Segalanya itu perlu diterima sebagai positif. Apabila ada orang bercakap mengenai apa yang diperkenalkan itu bermakna mereka bersikap ‘ambil tahu’ atau orang Terengganu kata “ambil cakna.”

Kalau ada persoalan yang negatif dikemukakan, itu tandanya banyak lagi tindakan penerangan dan penjelasan perlu diberikan supaya kefahaman mengenainya dapat ditingkatkan.

Pencetus idea penggunaan ebook di Terengganu adalah Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said sendiri yang melihat pembangunan negeri perlu bermula dengan pendidikan dan pembelajaran yang sempurna dan terkini.

Beliau ada menyatakan Kerajaan Negeri yakin prasarana yang kondusif adalah penting bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi turut membangunkan minda serta sahsiah pelajar sebagai persediaan menghadapi cabaran global.



“Sebagai langkah pertama, Kerajaan Negeri menyediakan 25,000 unit e-Book iaitu mini laptop yang dilengkapi pelbagai perisian buku-buku teks sekolah rendah serta perisian tambahan termasuk al-Quran, doa-doa dan amalan solat yang boleh digunakan oleh semua pelajar Tahun Lima di negeri ini,” katanya selepas melancarkan e-Book sekolah-sekolah negeri Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) baru-baru ini (akhir Mei'09).

Dengan itu seramai 10,438 murid tahun lima dari 127 sekolah di negeri ini akan mula belajar menggunakan buku elektronik ‘e-Book’ dengan penyerahan buku itu yang akan diagih melalui Pejabat Pelajaran di daerah masing-masing.

Terbaru, akhir Jun lalu beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal mengagihkan ebook berkenaan di sekolah-sekolah di kawasan tersebut.

Dengan ini bermulalah fasa baru pada pelajar-pelajar tahun lima di negeri ini dan ia akan merubah senario pembelajaran mereka kepada kaedah baru yang lebih baik.

Dato’ Ahmad berkata, selepas ini pelajar-pelajar yang telah menerima e-book dapat belajar dengan lancar dan boleh mengikuti modul pelajaran seperti biasa serta tidak perlu membawa beg yang berat ke sekolah.

Menurutnya, pengagihan seterusnya akan dibuat oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, diikuti wakil rakyat di kawasan masing-masing yang akan dibuat secepat mungkin.

Mungkin ada yang masih samara-samar dalam memahami apakah itu ebook dan sebab itulah menimbulkan pelbagai keraguan. Sebenarnya ada banyak definisi tentang e-book, berikut ini adalah definisi-definisi e-book. Ebook adalah berbentuk elektronik dari sebuah buku yang biasanya diterbitkan dalam bentuk tercetak namun kali ini berbentuk digital. The new Concise Oxford English Dictionary (2001) mendefinisikan e-book sebagai sebuah versi elektronik dari sebuah buku tercetak yang dapat dibaca pada sebuah personal computer atau alat lain yang direka khusus untuk membaca e-book.
Berdasarkan definisi-definisi diatas, kita dapat menyimpulkan bahwa ada dua unsur utama dari e-book. Pertama, e-book berbentuk digital. Kedua, penggunaan e-book memerlukan suatu alat, baik ‘hardware’ (peralatan fizikal) mahupun ‘software’ atau perisian dan di Terengganu, ‘mini laptop’ dijadikan sebagai alat pengantaraannya.
E-book berkembang dengan cepat akhir-akhir ini, bukan sahaja untuk kegunaan pembelajaran, tetapi di bidang perniagaan, perhotelan, perbankan dan sebagainya e-book sudah begitu meluas digunakan di seluruh dunia.

Dahulunya penulisan-penulisan bahan akademik sahaja dihasilkan menggunakan ebooks yang disebut sebagai e-journal, tetapi hari ini pelbagai penerbitan buku telah menggunakan teknologi e-book.

Di negara Portugal (bangsa Portugis) dan Venezuela ebook telah digunakan sepenuhnya di sekolah-sekolah di negara mereka, tetapi tidak wujudlah perisian yang mengandungi panduan solat, pembelajaran al-Quran sebagaimana di Terengganu.

Di tempat-tempat lain penggunaan ebook juga berkembang, terutama di peringkat perpustakaan yang disebut sebagai perpustakaan ebook dan bagi tujuan buku-buku untuk tatapan umum. Ia dikatakan menjimatkan serta mampu menampung bahan dan maklumat yang jika dibukukan dalam bentuk biasa tidak dapat ditampung oleh bangunan dan bilik perpustakaan.

Bahkan di Singapura dikatakan murid-murid sekolah tertentu hanya membawa mikrocip yang sebesar kuku kelingking sahaja ke sekolah, tetapi di dalamnya mengandungi pelbagai kandungan ilmu dan buku. Mungkin selepas ini, dengan nano-teknologi, cip akan semakin mengecil lagi dengan hanya beberapa nano-meter sahaja.

Departemen atau jabatan Pendidikan Nasional di Indonesia dilaporkan melancarkan buku sekolah elektronik 295 judul pada Ogos 2008. Difahamkan pada masa ini telah terdapat 49 judul buku digital yang boleh diperolehi masyarakat melalui internet. Dengan adanya buku sekolah elektronik maka siapapun berhak untuk ‘download’, mencetak, memperbanyak dan menjualnya dengan ketepan harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan atau jabatan berkenaan.

Satu iklan ditemui dalam internet mengiklankan perisian ebook dengan kandungan 60,000 judul dan dalam 104 bahasa. Bayangkanlah kalau ia dicetak dalam bentuk buku bercetak, di mana boleh diletakkan 60,000 buah buku dikali pula dengan 104 bahasa (terjemahan) menjadikan 6,240,000 (enam juga dua ratus empat puluh buah, judul buku).

Apa yang dilakukan oleh kepemimpinan Terengganu ini adalah merupakan suatu persediaan awal untuk menghadapi gelombang perubahan dunia yang di masa akan datang yang lebih canggih dan pantas perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat. Jika tidak dibuat persediaan awal pastinya kita akan tertinggal dan ditinggalkan

Baca Selanjutnya......

Rabu, 17 Jun 2009

Pemimpin UMNO Sentiasa Turun Padang



Perkataan ‘turun padang’ tiba-tiba menjadi popular sebaik sahaja Dato’ Sri Mohd.Najib Tun Abdul Razak menerajui negara. Beliau bukan sahaja melontarkan gesaan ini kepada pemimpin, tetapi sebagai pemimpin nombor satu negara, beliau sendiri mempraktikkannya sebaik sahaja menerima jawatan utama itu.



Sebaik sahaja beliau mengambil alih pentadbiran negara, agenda pertama yang dilakukan ialah “turun padang” yang disifatkannya sebagai tinjauan mesra seperti di Puduraya dan sekitarnya

"Saya melawat Puduraya kerana sebahagian besar rakyat menggunakan Puduraya, terutama nak balik kampung, cuti raya. Saya tengok, dan bukan sahaja tengok dengan kepala dan mata saya sendiri keadaan di situ, tetapi juga dapat menghidu udara dan bau di situ. Saya katakan berbeza dengan taklimat yang diberikan oleh pegawai berbanding (apabila) turun dan melihat keadaan sebenar di Puduraya.Banyak bezanya, macam bumi dan langit," katanya.

Oleh sebab itu, tambahnya, beliau mahu turun padang dan tidak mahu sebarang formaliti seperti hamparan merah, bunga manggar dan tanpa krew tv (media).

Katanya lagi, beliau akan tetap turun padang kerana mahu meninjau sendiri bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Justeru itu mutakkhir ini ucapan Dato’ Sri Najib ada saja penekanan terhadap isu turun padang oleh wakil-wakil rakyat. Isu turun padang ini bagi Najib merupakan isu utama untuk menyampaikan pesanan dan menghayati denyut kehidupan rakyat di akar umbi.

Dato’ Sri Najib dalam siri lawatan mengejut atau yang telah diatur menunjukan tauladan ini. Beliau sanggup berjalan kaki; melihat sendiri keluh kesah rakyat dalam pelbagai suasana.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin baru-baru ini semasa melawat Terengganu meninjau dan melihat sendiri batas pembangunan di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu (termasuk Pasar Payang dan Stesen Bas) Di Bandaraya Kuching pula beliau sanggup berjalan sejauh tiga kilometer semata-mata memperkasakan amalan turun padang.

Berasaskan kepada berita yang telah dilaporkan, pemimpin nombor satu dan dua negara ini mempraktikkan amalan turun padang ini dan di siinilah mereka dapat menyaksikan kepelbagaian dan keanekaan ragaman aktiviti masyarakat pelbagai lapisan di negara ini.

Di Terengganu, kita juga bertuah kerana dianugerahkan seorang Ketua Kerajaan yang juga menjadikan rakyat sebagai keutamaan, sekaligus sentiasa turun padang bersama rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said awal-awal lagi mendasari pentadbiran dan pembangunan negeri dengan keutamaan kepada rakyat. Beliau memperkenalkan ungkapan ‘Merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ sebaik sahaja diberi amanah sebagai orang nombor satu di Terengganu.

Beliau memperkenalkan program rakyat bersama beliau di setiap daerah, sehingga ini telah dilaksanakan di daerah Kuala Terengganu, Besut dan Marang; tidak termasuk program-program lain yang beliau pergi secara mengejut menemui rakyat dan penduduk tertentu yang menghadapi masalah, ditimpa bencana dan sebagainya.

Amalan Dato’ Ahmad selaras dengan gesaan Dato’ Sri Najib Tun bahawa menjadi dasar Barisan Nasional (BN) di mana setiap pemimpin perlu melawat mangsa yang menghadapi bencana bagi tujuan mengenal pasti bentuk bantuan yang diperlukan mereka. Bagi Dato’ Sri Najib wakil rakyat BN perlulah menjadi orang yang pertama turun padang untuk melihat sejauh mana usaha yang diperlukan untuk membantu mangsa.

"Kita mengarahkan semua pemimpin dan wakil rakyat kalau ada apa-apa mereka mesti turun ke padang, malah antara orang pertama berada di tempat kejadian berkenaan," katanya.

Walaupun dalam isu ‘turun padang’ ini Menteri Besar Selangor (dari PKR), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempunyai sikap lain dengan menganggap tindakan untuk turun padang melihat mangsa merupakan sesuatu yang membuang masa dan membazir wang, tetapi itu pandangan dia dan partinya, rakyat boleh buat membuat pertimbangan.

Bagi Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar beliau telah mengarahkan bantuan makanan dan tempat tinggal diberikan kepada mangsa banjir dan ribut dalam satu kejadian di Selangor baru-baru ini

Menteri Besar Selangor (PKR) itu mempunyai pendapat sendiri bahawa walaupun sokongan moral pimpinan politik itu penting, tetapi mangsa lebih memerlukan bantuan, bukan ‘public relations’ semata-mata- demikianlah pendapatnya walaupun bagi Dato’ Sri Najib menyatakan pentingnya pemimpin turun padang dalam situasi bencana.

Kata Dato’ Sri Najib sebagai seorang pemimpin, melawat mangsa malapetaka seperti ribut, kebakaran, banjir adalah sebahagian daripada tanggungjawab sebagai seorang pemimpin, ia memperlihatkan keprihatinan pemimpin kepada anggota masyarakat yang ditimpa bencana."

Ini bersesuaian dengan ungkapan beliau yang berbunyi,’ kita mesti faham, mesti merasai denyutan nadi rakyat, kita mesti merasainya.”

Persoalannya sekarang, apakah pendekatan pemimpin utama negara dan negeri ini dituruti sama oleh wakil-wakil rakyat lain, khususnya yang mewakili BN, pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin-pemimpin parti di peringkat akar umbi, pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan lain-lain yang bertaraf pemimpin, kecuali pembangkang lainlah kerana mereka mempunyai pendapat yang berbeza (sebagaimana ungkapan MB Selangor dari PKR).

Jika diterima pakai,apakah keadah ini hanya untuk sementara dan sambil lewa sekadar melepas batuk di tangga? atau sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Misalnya kalau ketua kampong turun padang sudah pasti segala maklumat di dalam kawasan jagaannya mudah diperolehi untuk dipanjangkan ke pihak lebih atas dan tidak akan berlaku cerita-cerita penderitaan dan sebagainya.

Kelangsungan kaedah ini penting dan adalah menjadi perhatian rakyat dalam tempoh beberapa tahun ini sebelum Pilihanraya ke 13, semoga isu ini bukan menjadi isu dan isu yang tidak perlu dijawab terpaksa diberi jawapan pada masa pilihanraya nanti.
Kita percaya program pemimpin turun padang ini membawa pengertian yang besar kerana ia membuktikan kecaknaan dan komitmen pemimpin khususnya di dalam meneruskan tradisi membela masyarakat melalui pendekatan mesra rakyat.

Pada masa yang sama, ia juga satu kesempatan terbaik bagi pemimpin, kerajaan dan pimpinan parti melihat sendiri keadaan masyarakat terutama di luar bandar yang secara langsung memberi input berguna bagi memperbaiki kekurangan yang ada.
Sementara itu Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga berpendapat ‘turun padang’ itu penting. Kesatuan ini pernah mencadangkan supaya Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi perkhidmatan awam harus menekankan kepada soal perancangan, penyelarasan, keberkesanan dan produktiviti dan pada masa yang sama adalah penting bagi pemimpin tinggi kerajaan seperti menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha dan ketua jabatan turun padang bagi merasai apa yang dilalui oleh rakyat.

Adalah penting untuk pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan supaya sentiasa turun padang dan mengetahui secara dekat kelemahan dan cara menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan awam, tanpa menafikan banyak jabatan kerajaan telah melakukan penambahbaikan dalam sistem penyampaiannya tetapi masih ada banyak ruang memperbaiki lagi sistem perkhidmatan bermutu tinggi.

Dalam sejarah Islam, Khalifah Omar Abdul Aziz ‘turun padang’ secara menyamar dengan tidak memperkenalkan identitinya. Tujuannya adalah bagi mendapat maklumat yang sebenar dan tepat.

Pemimpin yang menyamar untuk mendapatkan maklumat sebenar rakyat juga pernah berlaku dalam pentadbiran di negara kita.

Misalnya Dato’ Hassan Ibrahim (bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan) dan Datuk Ishak Tadin (bekas Pengurus Besar KTM) yang banyak kali turun padang menyamar dengan pelbagai identiti untuk mengetahui masalah sebenar rakyat dan pelanggan agensinya.

Marilah juga kita hayati model kepemimpinan Saidina Umar Al-Khatab semasa menjadi khalifah Islam kedua. Kisah bagaimana Saidina Umar yang turun ke padang melihat rakyatnya pada waktu malam ketika rakyatnya tidur. Kisah bagaimana Khalifah Umar yang menyantuni nasib seorang wanita tua yang sedang memasak sesuatu (merebus batu) untuk anak-anaknya yang sedang kelaparan. Kerana prihatinnya maka Khalifah Umar R.A sendiri pergi ke Baitulmal dan membawa sendiri keperluan wanita itu sendiri tanpa mengharapkan bantuan pekerjanya.

Di akhir kisah ini, wanita itu berkata; “Mudah-mudahan Allah S.W.T akan membalas budi baik tuan, sesungguhnya tuan yang sepatutnya menjadi Amirul Mukminin,bukannya Umar Al-Khatab.”

Syaidina Umar mendengar percakapan itu dengan perasaan gembira walaupun sebenarnya umar Al-Khatab itu adalah dirinya.


Baca Selanjutnya......