Khamis, 16 Julai 2009

100 HARI PM 475 HARI MB TERENGGANU

Oleh : Ruslan bin Abdul Rahman

Suatu persamaan konsep dan pendekatan



Ketika Dato’ Sri Mohd.Najib Tun Abdul Razak beberapa hari lalu berada di garisan perhitungan 100 hari sebagai Perdana Menteri Malaysia, bagi Dato’ Ahmad Said ia merupakan Menteri Besar Terengganu yang mencapai angka lebih kurang 450 hari atau setahun tiga bulan. Suatu jarak hari yang tidak jauh bezanya.

Dato’ Ahmad yang dilantik sebagai Menteri Besar pada 23 Mac 2008 mencapai 100 hari pentadbirannya pada 30 Jun tahun berkenaan.

Tidak kiralah berapa hari usia mentadbir dan menerajuinya. Yang ingin dijelaskan di sini ialah beberapa ciri persamaan yang ada antara Dato’ Sri Mohd.Najib yang memimpin negara dan Dato’ Ahmad Said di peringkat negeri Terengganu.

Persamaan pendekatan dalam memacu pentadbiran dan pembangunan negara/negeri dipaparkan dalam tulisan saya ini.

Perdana Menteri melalui konsep 1 Malaysia, menjelaskan melalui slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Dato’ Ahmad Said sebaik dilantik sebagai Menteri Besar sebenarnya juga telah menyatakan biarlah segala pembangunan memberi manfaat dan faedah kepada rakyat. Beliau lalu memperkenalkan pendekatan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.”



Dato’ Najib menjadikan ‘turun padang’ melawati rakyat di mana sahaja, di lorong-lorong sesak mahupun di kawasan perniagaan golongan bawahan. Dato’ Najib mahu mendengar sendiri rintihan rakyat, keperluan sebenar rakyat dan menyelesaikan segera masalah rakyat.

Dato’ Sri Najib tidak mahu kehadirannya menemui rakyat disambut dengan permaidani merah, perkara yang sama juga pernah diucapkan oleh Dato’ Ahmad sewaktu menemui kakitangan kerajaan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, beberapa bulan selepas beliau dilantik Menteri Besar.

Dato’ Sri Najib mahu menghayati dan memahami sendiri perasaan dan denyut nadi rakyat Mungkin apa yang diberi perhatian itu kecil bagi orang kaya, tapi besar nilainya di sisi rakyat marhain.

Dato’ Ahmad juga tiga bulan lepas memperkenalkan konsep 5M untuk dihayati oleh pegawai dan kakitangan kerajaan dan pimpinan semua peringkat, di antara dari lima ‘M’ itu ialah ‘Menjiwai, Menghalusi dan Memahami’. Dua perkara lagi ialah ‘Melaksana” dan “Memantau”.



Dato’ Ahmad berbicara mengenai tentang rumah rakyat yang beratap zing berkarat ‘merah’ bocor dan basah bila hujan. Untuk ganti atap rumah rakyat sahaja ratusan ribu diperuntukkan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri. Beliau turun sendiri memantau dan bergotong-royong bersama rakyat, membaiki atap rumah rakyat yang bocor. Rakyat yang miskin di pinggir Bandar di Paya Bunga juga dilawati sebaik menjadi Menteri Besar.

Ramai yang tertanya-tanya bila seorang Menteri Besar bercakap mengenai atap dan bantuan atap, ubi gadung makanan orang miksin. Tidak bercakap mengenai perkara-perkara besar dan mega.

Beliau tidak hiraukan cemuhan dan kata-kata yang cuba merendah-rendahkannya. Beliau umumkan pemansuhan caj bayaran pemasangan meter air walaupun bernilai 80 sen. Diperkenalkan projek ladang kelapa sawit untuk keluarga miskin tegar. Menteri Besar rakyat ini perkenalkan bantuan RM1,000 untuk pelajar-pelajar tingkatan enam di Terengganu.

Yang paling utamanya beliau berusaha mendapatkan semula royalti minyak dan berjaya. Tujuannya wang itu bolehlah untuk merangsang pembangunan ekonomi Terengganu.

Hari ini segala kritikan isu atap, ubi gadung untuk mengenengahkan semula makanan orang miskin suatu masa dahulu dan lain-lain yang dianggap remeh, terjawab apabila pemimpin nombor satu negara juga berbuat demikian, iaitu memberi keutamaan kepada hal-hal rakyat bawahan dan miskin (perkara-perkara kecil bagi orang besar, tapi besar bagi orang kecil).



Dato’ Sri Mohd. Najib antara lain memberikan diskaun kadar tol 20 peratus untuk rakyat yang berulang-alik ke tempat kerja, penurunan bayaran untuk mendapatkan lesen motosikal, pemberian 7,000 permit untuk pemandu teksi persendirian, diskaun 50 peratus bayaran lesen peniaga kecil di Wilayah Persekutuan dan rumah Projek Perumahan Rakyat yang disewakan oleh rakyat boleh dibeli untuk dimiliki.

Kecil bagi orang besar, tetapi besar bagi orang kecil. Pengurangan kos bayaran untuk mendapatkan lesen motosikal dari RM541 sebelum ini kepada RM211 adalah contoh terbaik bagi ungkapan itu.

Dato’ Najib juga berusaha mendapatkan RM60 billion untuk pakej kedua rangsangan ekonomi Malaysia dan Dato’ Ahmad terus berjuang mendapatkan mendapatkan RM1.4 billion wang royalti untuk memacu pembangunan Terengganu.

Mutakhir ini, Dato’ Ahmad melonjak ke hadapan melalui pemikiran kreatif,membuat suatu anjakan paradigma dalam dunia pendidikan dengan memperkenalkan e-Book atau buku elektronik untuk semua pelajar Tahun Lima dahulu di semua sekolah rendah di Terengganu.

Murid miskin hatta golongan dari keluarga termiskin yang tidak pernah kenal laptop, kini berduyun-duyun ke sekolah membimbit laptop (e-Book) tanpa menggalas beg berat lagi. Demikian penghayatan jiwa rakyat Dato’ Ahmad dizahirkan menjadi kenyataan.

Sesungguhnya Dato’ Ahmad yang dilahirkan dari sebuah keluarga petani miskin di Telok Kalong Kemaman sebenarnya mempunyai kelebihan dalam memahami sebenar denyut nadi rakyat bawahan. Justeru itulah beliau berulang kali menyebut bahawa pembangunan dan pentadbiran mestilah untuk manfaat rakyat.

Pun begitu Dato’ Najib yang sentiasa dari kecil mengikuti ayahandanya Tun Abdul Razak Husien menemui dan memesrai rakyat, bersama ke pelusuk kampong, di pekan mahupun desa, menjejaki Bapa Pembangunan kepada rakyat Malaysia; sesungguhnya Dato’ Sri Najib juga turut merasai dan memahami dari awal denyut nadi rakyat itu.

Kalau Tun Abdul Razak digelar sebagai ‘Bapa Pembangunan Malaysia’, Dato’ Sri Najib suatu hari nanti bolehlah diungkapkan sebagai ‘ Bapa Merakyatkan Pembangunan Malaysia.” Tahniah Dato’ Sri Najib dan Dato Ahmad kerana rakyat didahulukan dan merakyatkan pentadbiran dan pembangunan!

Baca Selanjutnya......

Rabu, 15 Julai 2009

PAKATAN PEMBANGKANG BUKANNYA PAKATAN RAKYAT

Ramai yang terkeliru mengenai beberapa istilah yang dipopularkan oleh pihak pembangkang. Misalnya istilah ‘pakatan rakyat’ yang seolah-olahnya kumpulan atau parti mereka ini disokong dan didokong oleh rakyat, manakala kumpulan atau parti lain sebaliknya.

Sebenarnya yang mengundi semasa pilihanraya adalah rakyat yang berdaftar sebagai pengundi dan keluar mengundi; mereka mewakili rakyat keseluruhannya tanpa mengira sama ada mereka ini menyokong mana-mana parti.

Kalau Barisan Nasional (BN) yang menang misalnya di Terengganu ini dan BN membentuk Kerajaan di Terengganu, bermakna ia juga adalah kerajaan yang dipilih dan disepakati secara majoriti oleh rakyat. Lantas ia juga adalah kerajaan hasil permuafakatan rakyat atau pakatan rakyat.

Begitulah juga kerajaan di peringkat negara kita sekarang iaitu Kerajaan BN yang juga dipilih melalui persepakatan rakyat secara majoriti. Jangan anggap kerajaan selain BN itu sahaja adalah hasil pakatan rakyat kerana semua kerajaan yang terbentuk melalui sistem demokrasi adalah kerajaan rakyat atau dipilih oleh rakyat, mungkin juga boleh disebut pakatan rakyat.

Maka Kerajaan BN ini juga sebenarnya pakatan rakyat dan kerajaan selain BN itu adalah kerajaan Pakatan Pembangkang dan penentang (PP). Misalnya PAS, DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah barisan yang pembangkang yang berpadu lalu membentuk kerajaan, maka kerajaan itu adalah Pakatan Pembangkang.

Kadang-kadang penyokong BN atau Umno sendiri terpengaruh dan terperangkap sama dengan istilah ciptaan pembangkang dengan memanggil sama kerajaan pembangkang itu dengan panggilan PR (pakatan rakyat).

Marilah kita tukar segera panggilan itu dan jangan terpengaruh dengan propaganda pembangkang yang seolah-olah rakyat tidak sukakan kerajaan yang ada sekarang dan menyokong mereka; sedangkan keseluruhan rakyat masih lagi berpakat menyokong kerajaan dan parti BN yang sedang memerintah negara kita sekarang ini.

Justeru itulah Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak sebaik menerima jawatan itu menegaskan rakyat adalah keutamaan kerajaan iaitu pendekatan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said lebih awal lagi menyebut sebaik dilantik bahawa rakyat perlu diberi keutamaan dengan pendekatan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.” Ini disebabkan kedua-dua pemimpin ini amat sedar dan insaf bahawa pakatan dan muafakat rakyatlah yang membolehkan mereka membentuk kerajaan.


Baca Selanjutnya......

Isnin, 13 Julai 2009

PAKATAN PAS –DAP-PKR UNTUK PELAKSANAAN DASAR-DASAR ISLAM?

Oleh : Ruslan bin Abdul Rahman



Yang Di Pertua Pas Dato’ Harun Taib berkata kerjasama antara PAS dengan DAP dan PKR adalah berdasarkan hukum yang dilaksanakan Rasulullah s.a.w dalam Perjanjian Hudaibiah.

Beliau berkata demikian dalam majlis Dialog Pimimpin Pas bersama rakyat di Koa Putra Besut.

Menurut Dato’ Harun yang juga Ketua Dewan Ulamak Pas, bahawa pakatan Pas-DAP dan PKR adalah dapat membantu Pas melaksanakan dasar-dasar Islam, manakala pakatan UMNO dalam BN menyebabkan Islam semakin terhakis.

Mungkin kepada orang kampung yang kurang mendapat maklumat sebenar tentang apa yang berlaku di beberapa negeri yang diperintah bersama oleh pakatan pembangkang (Pas-DAP-PKR) mungkin boleh terpedaya dengan kata-kata itu.

Kata-kata itu amat lunak didengari tetapi kenyataan yang sebenar adalah jauh panggang dari api. Apa yang terjadi hasil dari pakatan itu adalah sebaliknya.


Orang Melayu Islam di Perak cukup merasai apa pengkhianatan yang dilakukan oleh Pas dan Dato’ Seri Nizar (sewaktu menjadi MB Perak seketika) dengan hanya menjadi boneka kepada pihak DAP.

Siapakah yang mengkhianati dan menganaktirikan orang Islam dan Melayu di Perak sehingga mengurniakan tempoh pajakan tanah kepada orang bukan Islam selama 999 tahun, sedangkan status tanah orang Melayu hanyalah 99 tahun sahaja.

Fakta ini merujuk kepada tindakan Kerajaan Perak yang Menteri Besarnya dari Pas pada waktu itu memberikan hak milik kekal selama 999 tahun kepada kampung-kampung baru di Perak walaupun bercanggah dengan Majlis Tanah Negara (MTN).

Apakah tindakan ini bermakna membela orang Islam dan orang Melayu?

Ini belum lagi beberapa dasar yang dibuat oleh parti-parti pembangkang yang turut disertai oleh Pas di Selangor, Pulau Pinang , Kedah dan Kelantan.

Kelantan awal-awal lagi membenarkan pembinaan patung terbesar di Asia…apakah itu bermakna menjaga syiar Islam? Tetapi bagi Pas semua ada jawapan sebab mereka memperalatkan Islam dengan pelbagai hujah untuk menghalalkan tindakan mereka.

Di Selangor, seorang exco wanita Selangor awal-awal memanggang dan menjamu lima ekor babi sebagai tanda kemenangan kumpulan mereka menawan lima negeri dalam pilihanraya umum ke 12. Itukah syiar dan kejayaan Islam bagi pakatan pembangkang yang turut membabitkan Pas?

Sebaik berkuasa, pada 9 Jun 2008, rumah berhala bukan Islam boleh dibina sebesarnya, melebihi 10 000 ribu kaki persegi di Selangor. Tidak pernah sebelum ini. Mungkin inilah perlaksanaan Islam yang Dato’ Harun maksudkan bila Pas berpakat dengan DAP dan PKR?

Kepada mereka yang celik maklumat dalam dunia siber yang serba terbuka hari ini, sepatutnya Pas tidak boleh memperbodohkan rakyat sedemikian rupa.

UMNO /BN yang dituduh oleh Dato’ Harun ke arah menghakiskan Islam telah mencetuskan berbagai dasar dan pendekatan Islam dalam mencakupi mualamat dan munakahat, ekonomi dan pentadbiran yang Islamik.

Dasar Penerapan Nilai Islam, Bank Islam, Islam dengan pendekatan yang hadhari dan sebagainya lagi telah dengan beraninya diperkenalkan, tidak pengecut seperti Pas yang tunduk kepada tuntutan golongan yang anti Islam.



Kini apakah Pas berusaha membina pemerintahan Islam dan Undang-Undang Islam di negeri yang mereka kuasai? Nampaknya kini Pas sudah tidak seIslamik lagi setelah memilih rakan-rakan yang anti Islam sebagai sahabat akrab.

Eratnya Hadi memeluk Kit Siang, eratnya Ketua Muslimat Pas, Nuridah Salleh mendakap Exco yang terbabit dengan skandal telanjang Elizebeth Wong…. dan seronoknya berkenduri khinzir bila berjaya menghancurkan UMNO/BN di beberapa negeri.! lihat gambar……

Baca Selanjutnya......

Rabu, 8 Julai 2009

BELANJAKAN WANG BAKTI REMAJA UNTUK PERKARA YANG BERFAEDAH

Oleh : Ruslan Abdul Rahman

Pada tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM23 juta untuk Program Bakti Remaja Terengganu.


Jumlah RM200 yang diberikan kepada setiap remaja yang menyertai program ini tidaklah banyak, tetapi apabila membabitkan jumlah yang ramai, nilainya puluhan juta ringgit.

Sesudah sembilan tahun diperkenalkan program itu, tentulah telah ramai remaja berusia 21 tahun ke atas yang belum berkahwin dan tiada mempunyai pendapatan telah mengecapi pemberian kerajaan Barisan Nasional yang cakna remaja dan cakna rakyat ini.

Pemimpin Terengganu, khususnya Dato’ Ahmad Said melalui program ini sebenarnya cukup cakna dan sayang pada remaja. Maka sayang, kasih dan cinta itu hendaklah dibalas dengan perasaan yang sama juga.

Kepemimpinan, baik di peringkat negara diterajui Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak mahu pun negeri mengiktiraf sumbangan dan peranan golongan belia, baik sumbangan bakti kepada keluarga mereka atau masyarakat sekeliling.

Dato’ Sri Najib pernah menyatakan bahawa belia adalah aset penting negara yang perlu diberi perhatian.

Peranan belia, muda-mudi menjayaka apa juga perjuangan dan tamadun sudah banyak tercatat dalam pelbagai sejarah.

Misalnya hampir 95 peratus dari pendokong ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.aw dipelopori golongan muda-mudi. Nama-nama seperti Ali Abi Thalib, Saad bin Abi Waqas, Usamah bin Zaid, Bilal bin Rabbah, Aisyah bntui Abu Bakar, Asma’ binti Abu Bakar, Hafsah binti Omar, bahkan Fatimah anak Rasulullah sendiri adalah muda-mudi yang menjadi tenaga penting dalam perjuangan awal Rasulullah menjayakan visi dan misi agung.

Pemberian hadiah oleh kerajaan kepada golongan remaja sejak sembilan tahun yang lalu, anggaplah ia suatu yang amat bernilai, bukan di segi jumlahnya tetapi nilai kasih sayang dan kecaknaan di sebalik pemberian itu.

Remaja yang sedang bercinta dan mempunyai kekasih tentunya amat memahami sekali, mengerti nilai pemberian itu, walaupun kekasih sekadar memberi sehelai sapu tangan yang bernilai RM2, tetapi diabadikan sebaik mungkin kerana nilai pemberian itu terlalu tinggi!

Wang dana bakti remaja yang diberikan itu bukanlah sekadar untuk dihabiskan begitu sahaja. Kita harap remaja-remaja yang menerima wang ini supaya tidak menggunakan wang tersebut kepada benda-benda yang tidak mendatangkan manfaat.

Ertinya, wang yang diberikan itu bukan untuk tujuan membiayai kehidupan berfoya-foya atau dibelanjakan untuk perkara yang tidak mendatangkan manfaat, umpamanya membeli rokok, membeli minyak motosikal untuk merempit dan sebagainya lagi.

Justeru itulah setiap remaja yang menerima bantuan itu diberikan kursus atau sekurang-kurangnya mengikuti ceramah kesedaran, motivasi dan sebagainya agar terbina di dalam dirinya jati diri, keinsafan, kesedaran membina masa depan dan membuat perubahan diri ke arah yang lebih baik.

Walaupun RM200 yang diberikan kita juga perlu mendidik remaja itu tentang pengurusan kewangan yang bijak.

Persoalannya duit itu untuk berbelanja sesuka hati atau disimpan?

Golongan remaja kebanyakannya mungkin masih belajar dan belum berkerja tetap, maka secara umumnya masih belum terdedah kepada pelbagai bentuk skim pinjaman atau pelaburan sedia ada.

Bukan RM200 itu sahaja yang remaja ini perolehi Sebenarnya lebih dari itu dari sumber yang lain.Dari semasa ke semasa remaja bakal memperoleh wang, sama ada daripada ibu bapa atau penjaga, melalui pekerjaan sambilan, bersempena hari perayaan, pemberian biasiswa pelajaran, atau apa jua sumber yang halal dan berkat.

Justeru, dengan wang yang ada remaja mempunyai pilihan untuk membelanjakannya atau menyimpannya. Sebagai remaja, sememangnya terdapat kecenderungan untuk membelanjakan wang yang dimiliki demi memenuhi keperluan atau kemahuan diri. Apatah lagi dengan lambakan barangan jualan sama ada di premis membeli belah ataupun di alam siber.
Remaja yang bijak akan memikirkan masa depan pendidikan mereka, kerana dengan pendidikan mampu membawa keluar remaja daripada kancah kejahilan dan kemiskinan kepada tahap kehidupan yang lebih baik.

Peranan keluarga atau ibu bapa juga penting dalam hal ini.

Ibu bapa sebagai insan yang paling dekat dengan remaja mampu membimbing remaja mempraktikkan pengurusan kewangan secara bijak. Anak-anak tidak seharusnya dilimpahkan dengan kebebasan kewangan tanpa pengawasan ibu bapa terhadap mereka.
Ini kerana anak-anak mungkin cenderung untuk membelanjakan wang yang dimiliki untuk membeli barangan kemahuan diri sekiranya tidak dipupuk dengan kesedaran serta tabiat untuk berjimat dan menyimpan.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membantu anak-anak menguruskan wang mereka serta mengawasi apa yang dibeli oleh anak-anak.

Sebarang titik bengit dalam mengahdapi hidup bermasyarakat hendaklah dijauhi. Jangan lekas marah jika lambat diterima kerana proses kewangan kerajaan diurus dengan penuh etika dan amanah, tidak boleh gopoh-gapah tetapi mestilah mengikut sistem yang ditetapkan.

Kita bangunkan negeri dan negara kita, kampung halaman, keluarga dan masyarakat di sekeliling kita. Kita sebenarnya membangun dan merubah diri kita sendiri!

RM200 itu mungkin boleh dihimpun secara kumpulan menjadi jumlah yang lebih besar untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan, misalnya menjual burger, ikan bakar, satay atau membuka kios membaiki motosikal dan sebagainya. Tukarkan wang hadiah itu menjadi joran yang boleh membawa ikan yang lebih banyak lagi dan bukannya dijadikan ikan yang terus dimasak, dimakan dan habis.

Selepas ini pula 160,000 keluarga berpendapatan rendah di Terengganu pula akan menerima wang dana khas. Sungguh cakna dan merakyatnya Kerajaan Terengganu kita!

Baca Selanjutnya......

Rabu, 1 Julai 2009

DEBAT!. PERLUKAH?

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Terbaru, setelah menuduh dan menyamakan UMNO dengan komunis dan ajaran sesat ‘Ayah Pin’ kini orang yang bernama Nik Aziz bin Nik Mat mengajak pula Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Razak berdebat.

Tuduhan itu menyamakan UMNO dengan komunis dan ajaran Ayah Pin nampaknya dikeluarkan secara mudah di bibir mulut dalam satu ceramah, tetapi makna di sebaliknya amatlah berat. Ertinya ahli UMNO yang kini menjangkau 3 juta adalah merupakan penganut ‘komunisme’ dan ajaran sesat Ayah Pin.

Salah satu fahaman komunisme ialah tidak menganut apa-apa agama dan semua agama itu disifatkan sebagai ‘candu’ dan melemahkan manusia.

Bentuk dan dasar ideologi komunisme adalah berpandukan kepada pemikiran Marxisme, Leninisme dan fikiran Mao Tse Tung.

Pengikut ideologi komunis berpegang kepada konsep memfokuskan diri sebagai ”Tuhan”. Daripada konsep ini, dapat dilihat bahawa antara ideologi komunisme ini adalah tidak mempercayai dan mengakui kewujudan Tuhan. Pengikut fahaman komunis, meskipun tidak percaya pada Tuhan, tetapi pada dasarnya dia bertuhan. Lantas, siapa tuhan orang komunis? Itu sangat tergantung pada apa atau siapa yang mendominasi kehidupan mereka. Tuhan mereka adalah ajarannya, pemimpinnya, atau dirinya sendiri. Walau bagaimanapun, mereka percaya kepada syurga dan neraka. Mereka percaya bahawa apabila seseorang pengikut ideologi komunisme meninggal dunia, ia akan naik ke syurga iaitu bertemu dengan Karl Marx. Bahkan mereka juga percaya manusia itu berasal dari monyet sebagaimana teori evolusi Charles Darwin.

Itulah falsafah dan fahaman orang-orang UMNO apabila disamakan dengan komunis itu? Terlalu berat tuduhan dan penyamaan yang dibuat oleh Nik Aziz itu.

Manakala ajaran Ayah Pin pula mengikut fatwa yang dikeluarkan di bawah Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu dengan ini membuat dan mengeluarkan Fatwa berikut:


Bahawasanya ajaran dan pegangan Ayah Pin adalah palsu,sesat,menyeleweng dan boleh membawa ancaman kepada ketenteraman orang awam serta merosakkan akidah.

Oleh yang demikian orang ramai di negeri ini hendaklah menghindar diri daripada terlibat dengan pegangan dan ajaran Ayah Pin tersebut. Tarkih Pewartaan: 4 Disember 1997

Keterangan :
Antaranya :
1. Beliau mengaku tidak belajar agama,
2. Beliau berpegang kepada ajaran yang salah serta bertentangan dengan Syara',
3. Beliau pernah menyatakan bahawa " Tidak ada orang lain selain saya dan Nabi Muhammad saw yang berguru dengan Jibril". Dakwaan ini salah dan palsu serta bertentangan dengan ajaran Islam dan menghina Syara'.
4. Beliau mengaku mengajar. Ajaran serta pengangannya adalah sesat dan bertentangan dengan hukum Syara'.
5. Mesti jumpa Allah dan Rasul dahulu baru boleh percaya.
6. Nabi Muhammad mencantumkan kitab Zabur,Taurat dan Injil dan menjadikan Al-Quran.
7. Bongkar Quran dahulu baru boleh percaya kepada Malaikat dan sifat dua puluh.
8. Setiap kali Sembahyang hendaklah beriktikad bahawa Ayah Pin berada di hadapan.
9. Quran perlu dibakar dan abunya dilumur pada tubuh Ayah Pin.
10.Mendakwa beliau telah melalui semua agama-agama barulah jadi Islam dan menerima syahadah secara langsung dengan Tuhan.
11.Beliau mendakwa, di atas muka bumi ini tiada orang lain yang memimpin manusia melainkan Ayah Pin seorang.
12.Nyawa manusia yang ada di atas muka bumi adalah duduk ditangannya kerana dia memegang segal kunci-kunci akhirat.
13.Kalau bersyair memuji-muji di atas nama Ayah Pin adalah lebih afdhal daripada berzikir dan bersembahyang.

Demikian kesesatan ‘Ayah Pin’, maka apabila Nik Aziz juga menyamakan UMNO dengan ajaran ‘Ayah Pin’ maka demikianlah juga ahli UMNO.

Layakkah Nik Aziz menuduh sampai sebegitu rupa. Siapakah dia boleh menuduh dan menyamakan orang-orang UMNO sehina itu?

Apa yang sedia diketahui umum Nik Azizlah yang banyak mengeluarkan kata-kata dan hukum antaranya: 1.‘Tuhan pun mencarut’, 2. Boleh berkawan dengan syaitan 3. Nabi juga mengamalkan kronisma dan macam-macam lagi kenyataan yang cukup menyinggung perasaan umat Islam hanya semata-mata untuk mempertahankan pengikut Pas dan kepentingan politik Pas.

Senang sahaja beliau mengeluarkan percakapan yang menghina Tuhan. Ada orang memberi pendapat mengenai kata-katanya itu, tapi akhirnya perkara itu diam begitu sahaja.

Beliau kemudian mengeluarkan kata-kata yang boleh kita kategorikan sebagai menghina Nabi pula. Semasa beliau dituduh memilih kroni apabila melantik menantu beliau untuk jawatan penting dalam pentadbiran Negeri Kelantan, beliau menyatakan Nabi pun mengamalkan kronisma juga apabila baginda melantik sahabat-sahabat baginda. Tidak menghinakah namanya itu? Tapi siapa yang berani memberi ulasan.

Jika kita masih ingat, pada awal kemerdekaan, Pas dengan lantang berkempen mengatakan UMNO sebagai taghut, sesat dan tidak menuruti ajaran Islam kerana bekerjasama dengan kafir. Sekarang bagaimana hukumnya bilamana Pas sendiri bekerjasama dengan orang-orang kafir sehingga dalam isu kerajaan perpaduan pun PAS menolak dan menandatangani pernyataan bersama dengan Lim Kit Siang (DAP) pada 22 Jun lalu di bangunan Parlimen, menolak anjuran mulia itu.

Berbalik kepada persoalan Nik Aziz memberi fatwa boleh berkawan dengan syaitan, seorang ahli agama, Ustaz Wan Zahidi Wan The menulis:

“Kenyataan Haji Nik Aziz boleh mengelirukan jika tidak diberi penjelasan ialah tentang keharusan berkawan dengan syaitan untuk mencapai matlamat perjuangan Islam. Ini ialah memandangkan Quran dan Sunnah dengan jelas dan tegas memerintahkan umat Islam supaya menjadikan syaitan sebagai musuh mereka yang paling utama tanpa sebarang kompromi. Kerana syaitan itu sendiri merupakan punca kejahatan yang tidak boleh diharapkan apa-apa kebaikan daripadanya pada bila-bila masa dan keadaan sekalipun, seperti yang ditegaskan dalam firmannya yang bermaksud: "Sesungguhnya laknat itu tetap menimpamu (iblis) sampai hari kiamat" (Thoha. 35). Menurut Ibnu al-Qayyim: "Sesiapa yang meneliti Quran dan Sunnah akan mendapati kedua-duanya memberi penekanan yang lebih banyak dalam memperingatkan manusia tentang tipu helah syaitan dan keperluan memeranginya, berbanding dengan peringatan tentang bahaya nafsu" (Ighathah al-Lahfan, jld. 1). Ibnu Kathir, ketika mengulas ayat yang memerintahkan umat Islam berbuat baik terhadap manusia yang bermusuh dengan mereka (Fushshilat: 34), beliau menyatakan: "Allah memerintahkan umat Islam supaya berdamai dengan musuh yang terdiri daripada manusia serta berbuat baik kepada mereka; supaya dengan itu permusuhan dapat dijernihkan disebabkan terdapat asas kebaikan dalam diri setiap manusia. Tetapi Allah memerintahkan supaya mereka memohon perlindungan daripada syaitan, kerana permusuhannya dengan manusia bersifat total dan tidak ada sebarang kemungkinan untuk berdamai dan berbaik-baik lagi. Ini ialah memandangkan seluruh usaha syaitan ditumpukkan untuk membinasakan anak Adam disebabkan permusuhan yang sangat ketat antaranya dengan bapa mereka Adam sebelum ini" (Tafsir al-Quran al-'Azim, jld. 1).

Apa yang disebutkan oleh Ibnu Kathir ini dapat disaksikan dalam banyak ayat Quran, antaranya Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu, maka jadikanlah dia sebagai musuh; kerana sesungguhnya syaitan itu hanya menyeru puaknya supaya mereka menjadi penghulu neraka sa'ir" (Faathir: 6). Menurut AI-Quran, hanya orang yang tidak beriman sahaja yang menjadikan syaitan sebagai pembantunya, seperti yang dinyatakan dalam surah al-A'raaf ayat yang bermaksud: "Sesungguhnya kami jadikan syaitan itu sebagai pembantu-pembantu kepada orang-orang yang tidak beriman". AI-Quran seterusnya menegaskan bahawa orang-orang yang menjadikan syaitan sebagai kawan tidak akan mendapat apa-apa kecuali kerugian di dunia dan di akhirat: "Dan sesiapa yang menjadikan syaitan sebagai penolong selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata" (Maksud ayat 119 surah Annisaa').

Jadi persoalan syaitan sebagai musuh utama umat Islam dan tidak boleh dijadikan kawan atau pembantu dalam mencapai cita-cita perjuangan Islam adalah merupakan perkara yang qat'ei (tidak terdapat perbezaan pandangan atau tafsiran mengenainya). la termasuk dalam hukum yang dikategorikan oleh ulama sebagai "al-ma'lum min al-din bi al-dharurah" (hukum yang diijmak oleh ulama dan dapat diketahui dengan mudah tanpa perlu kajian yang mendalam). Hukum seperti ini tidak boleh dipermainkan; kerana mengingkarinya boleh membawa kepada kekufuran. Oleh itu sebarang bentuk kenyataan yang boleh menampakkan percanggahan dengan keterangan Quran yang jelas dan qatei ini boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai, memandangkan ia menyentuh persoalan akidah yang tidak boleh ada sebarang ijtihad lagi mengenainya.

Mudah-mudahan dengan penjelasan ini saya berharap telah dapat melaksanakan tanggungjawab menyampaikan apa yang perlu disampaikan. Bagi pihak orang ramai pula, mereka berpeluang meneliti manakah pandangan yang benar dan menyakinkan untuk dijadikan pegangan dan amalan, yang mana mereka akan bertanggungjawab di hadapan Allah kelak terhadap pegangan tersebut secara bersendirian - bukan secara berparti. Wallahu A'Iam.”

Mampukah orang UMNO hanya berdiam diri dan bersabar dengan segala macam perkara yang dilakukan oleh yang merasakan dirinya terlalu ‘kebal’ kerana tiada sebarang tindakan walau apapun kenyataan menghina orang lain, bahkan menghina Tuhan dan Nabi dibuat.
Insan yang menghina UMNO itu bukanlah orang asing dengan UMNO, pernah suatu ketika menjadi Pegawai KEMAS, agensi yang diwujudkan oleh UMNO.

Bahkan orang nombor satu PAS pernah membuat fatwa, lawan UMNO mati syahid, tetapi tentulah dirasakan diri kebal untuk menyatakan apa sahaja sebab hidup di Malaysia ini keadaan diri tetap aman dan sejahtera walaupun kenyataan dibuat cukup tidak aman dan sejahtera.

Orang yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan itu bukan kerana tidak ada ilmu dan pengetahuan sebagaimana ‘Ayah Pin’. Pemimpin PAS kebanyakannya mengangkat dirinya sebagai ‘Tuan Guru’ pada nama mereka, bukan Mahaguru Budha atau lain-lain agama tetapi Tuan Guru dalam konteks agama Islam. Bukan orang yang letak, diri sendiri yang letak Tuan Guru sebagai nama rasmi, tertera pada pejabat dan milikan rasmi masing-masing. Demikianlah adanya.

Semua memperkatakan kebaikan dengan ilmu dan pengetahuan yang dimiliki.

Apa pun ingat dan hayatilah Firman Allah, maksudnya: “Wahai orang orang yang beriman! Mengapa kamu ucapkan apa apa yang tiada kamu perbuat? Sangat dibenci oleh Allah, bahwa kamu ucapkan apa apa yang tiada kamu perbuat". (QS. Ash Shaaf, 61 : 2 3). Ayat ini bermakna bahwa ilmu tanpa amal akan mengundang bencana dan kutukan. Kualiti suatu ummat dilihat dari kemampuannya menerapkan ilmu pengetahuan mereka, atau pendayagunaan ilmu itu, dalam mengelola alam keliling hingga lebih bermanfaat dan bernilai guna. Juga ilmu yang diamalkan sangat berguna untuk menciptakan kesejahteraan ummat manusia secara umum, dengan amal usaha mereka sendiri.

Tidak wajar dan tidak serasi untuk berdebat dengan mereka ini. Hanya doakanlah kehadrat Allah Subhanahu Wataala supaya diberi pertunjuk dan keinsafan atas keterlanjuran yang dilakukan, semoga Allah mengampuni.


Baca Selanjutnya......