Khamis, 15 Januari 2009

PERLU SIAP SIAGA DI AWAL PAGI HARI MENGUNDI

oleh : Ruslan bin Abdul Rahman

Jentera Barisan Nasional (BN) diminta bersiap sedia untuk bertugas di hari mengundi sejak awal pagi kerana hari yang paling penting ialah hari ‘mengundi’ pada Sabtu 17 Januari 2009.

Persiapan awal pagi itu adalah penting bagi memastikan segala urusan berkaitan tugas-tugas yang telah diatur kepada setiap petugas mengikut bidang tugas masing-masing tidak diabaikan atau jangan sampai ada yang lewat datang bertugas sehingga menjejaskan operasi di hari mengundi itu.

Ketua Penerangan yang mengetuai jentera penerangan pilihanraya P.036 Kuala Terengganu, Dato’ Zubir Embong berkata, jentera telah menjalankan tugas dalam tempoh kempen dengan baik, bertahanlah sehingga ke hari mengundi dari awal pagi sehingga tamat masa pengundian.



“Setiap minit dalam pada hari mengundi adalah penting dan jangan sia-siakannya, melainkan dimanfaatkan untuk pastikan seberapa ramai pengundi keluar dan mengundi BN. Pastikan perlatan, pondok semakan pengundi BN, komputer semakan pengundi, kenderaan dan sebagainya siap sedia dan tidak kelam-kabut” katanya.

Jentera BN diminta jangan takut dengan kekerasan, ugutan dan cara kempen terakhir di kawasan pusat mengundi oleh pihak lawan, sebaliknya perlu hadapi dengan berani, tegas dan “percayalah BN berada di pihak yang benar dan mampu mencapai kemenangan, Insya Allah.”

“Jangan kita bersikap bertahan semata-mata (defensif), tetapi perlu berani dan merebut peluang untuk pastikan pengundi BN kita tidak dihalang oleh mana-mana pihak untuk pergi mengundi dan menunaikan hak mereka. Tiada pengundi hantu kerana semua ada dalam daftar pemilih yang sah, adalah berhak mengundi” katanya dengan merujuk kepada sikap lawan yang sering membuat halangan kepada pengundi-pengundi BN.




Jentera perlu sentiasa ada dan siap sedia, walaupun di sebelah petang, kerana mungkin masih ada yang pengundi BN yang belum keluar mengundi dan perlu dibuat operasi khas kerahan akhir agar tiada seorang pun pengundi BN tertinggal di hari mengundi, kerana satu undi pun penting!

“Pastikan cukup tidur di malam terakhir kempen untuk bertugas di hari mengundi, kesihatan baik, fizikal dan mental dalam keadaan kuat, semangat yang berkobar-kobar untuk memenangkan BN, satu-satunya yang boleh menyelamatkan kita,” tegasnya.

Katanya, tepat jam 12.00 malam pada 16 Januari laungkan “Hidup BN!, Hidup BN!, Hidup BN! sebagai tanda jentera dan penyokong BN telah bersedia untuk hadapi tibanya hari penting 17 Januari bagi mempastikan kemenangan calon BN.

Baca Selanjutnya......

ERTI MERAKYATKAN PEMBANGUNAN DAN PENTADBIRAN

Oleh: Ruslan bin Abdul Rahman

‘Rakyat,’bukanlah suatu perkataan yang asing bagi kita semua. Sejak dahulu lagi kita pernah mendengar, ‘sekolah rakyat, bank rakyat, balai rakyat, bahkan kini pula berbagai-bagai jurusan dijenamakan dengan perkataan ‘rakyat.’ Merakyatkan seni, merakyatkan ekonomi, merakyatkan sukan dan sebagainya.

Kita semua adalah rakyat sebenarnya. Bagaimanapun istilah rakyat dalam konteks yang difahami ramai ialah golongan bawahan atau rakyat biasa yang taraf hidupnya agak miskin atau sederhana. Apa yang jelas “rakyat’ tidaklah merujuk kepada golongan elit atau bangsawan, walaupun sebenarnya golongan itu adalah komponen rakyat juga.



Pendekatan dan fokus kepada rakyat adalah menjadi cita-cita dan harapan pemimpin yang tulus dan berjiwa rakyat. Lebih-lebih lagi kalau pemimpin itu lahirnya dari kalangan rakyat, yang memahami pahit-getir kehidupan, susah-senang sebuah perjuangan untuk kelangsungan hidup, tentunya perjuangan demi untuk rakyat menjadi keutamaan.

“Saya pernah hidup susah…saya pernah jual kuih..saya pernah mencari ubi gadung dalam hutan ketika tiba musim hujan, makan lempeng…semua itu perkara biasa kerana ketika itu kehidupan memang susah,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dalam satu wawancara dengan media sebaik dilantik menjadi Ketua Kerajaan Terengganu.

Justeru itu kita lihat, bagaimana pendekatan dan fokus beliau kepada rakyat dalam setiap pembangunan mahupun pengurusan pentadbiran beliau.

Pengalaman beliau dalam pentadbiran awam, pernah menjadi penolong pegawai daerah dan pegawai pentadbir tanah digabungkan dengan pengalaman pahit getir kehidupan di zaman kanak-kanak, lalu terbina dalam dirinya iltizam yang tinggi untuk ‘MERAKYATKAN PEMBANGUNAN’ dan ‘MERAKYATKAN PENTADBIRAN.’



Merakyatkan pembangunan sudah sering diperkatakan iaitu setiap pembangunan mahu dipastikan mendatangkan faedah yang maksima kepada rakyat. Tidak mahu sama sekali dibuat pembangunan yang tidak menguntungkan apa-apa kepada rakyat sehingga mencetus kemarahan dan menoktahkan sokongan rakyat kepada parti pemerintah.

Pentadbiran bukan sekadar mentadbir secara rutin, menjalankan tugas-tugas di jabatan atau agensi dan kemudian dibayar gaji atau upah. Pegawai dalam bidang pentadbiran bukanlah beerti mengejar pangkat dan kedudukan; ia bukanlah mahkota, melainkan perkhidmatan dan tugas yang dijalankan itu adalah semata-mata untuk membantu rakyat.

Demikian yang diharapkan oleh Dato’ Ahmad Said. Terengganu era baru di bawah kepemimpinannya meletakkan rakyat sebagai keutamaan, rakyat ke bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Terengganu.

Renunglah petikan ucapan Dato’ Ahmad ketika berjumpa kakitangan perkhidmatan awam Kerajaan Negeri pada 17 April 2008, di Wisma Darul Iman:

“Apa yang kita (kakitangan perkhdimatan awam) lakukan akhirnya hendaklah dikembalikan kepada rakyat. Kita hendak MERAKYATKAN PERKHIDMATAN kita, kita hendak MERAKYATKAN apa juga PEMBANGUNAN yang kita lakukan.”

Di sini bermaksud, pentadbiran mesti dipermudahkan untuk rakyat. Pentadbiran mesti bersifat menolong rakyat, pentadbiran beroreantasikan faedah dan kepentingan rakyat. Justeru itu pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam perlulah juga berjiwa rakyat, bukan sahaja pemimpin atau ahli politik yang perlu berjiwa rakyat.

Bolehlah dicadangkan dibuat satu slogan ‘merakyatkan pembangunan dan pentadbiran’ di akhir surat rasmi yang di tulis oleh jabatan-jabatan di Terengganu, guna mengingatkan semua tentang tugas dan peranan mereka kepada rakyat.

Ketuanan rakyat atau ‘people’s supremacy’ adalah suatu era baru Terengganu yang dicetuskan oleh pemimpin yang dilahirkan dari perkampungan nelayan Kijal Kemaman. Ia tidak lain ialah Dato’ Ahmad Said. Di kedai kopi, merata ceruk pekan dan kampong, rakyat menyebut-nyebut namanya dengan senang sekali iaitu “Mat Said’ yang cukup sinonim sekali nama itu dengan rakyat Terengganu.

Baca Selanjutnya......

Selasa, 13 Januari 2009

MENGAPA PENTINGNYA KESELAMATAN SEMASA PILIHANRAYA

Oleh: Pemerhati Khas

<

“Lebih kurang jam 12 tengahari- 8/3/2008, saya balik dari mengundi di Sekolah Menengah Seberang Marang dan saya singgah di Sekolah Agama Marang dan saya singgah di Sekolah Menengah Agama Marang kerana ada 3 orang jiran hendak tumpang balik ke rumah. Sampai di simpang masuk ke Medan Jaya, saya ditahan oleh sekumpulan lelaki yang menutup mukanya. Apabila saya berhenti, mereka mengatakan kepada kami sebagai pengundi hantu. Mereka ketuk cermin dan tendang kereta…” demikian sebahagian kandungan laporan polis yang dibuat oleh seorang yang dituduh ‘pengundi hantu’.

Laporan polis di atas adalah antara ratusan laporan polis semasa Pilihanraya Umum ke 12 (PRU 12) lalu yang sebenarnya disebabkan oleh tindakan ganas penyokong Pas yang membuat kekasaran kepada mana-mana pihak yang dituduh “pengundi hantu” tanpa usul periksa. (lihat gambar kumpulan Pas yang bertopeng sedang mengawal pengundi hantu kononnya)



Sebenarnya adalah menjadi kesalahan kepada mana-mana pihak menghalang proses pengundian. Tuduhan pengundi hantu hanyalah tuduhan semata-mata kerana selagi nama mereka tersenarai dalam daftar pemilih, mereka tetap berhak mengundi, sama ada mereka penyokong mana-mana parti yang bertanding sekalipun.



Sesungguhnya proses pendaftaran pemilih di negara ini berjalan dengan sempurna. Sebelum senarai pemilih itu disahkan, semakan dan bantahan serta perbicaraan diadakan.



Semua pihak diberi peluang membuat bantahan, bukti dan saksi semasa perbicaraan. Mengapa harus dihukum pengundi yang tidak bersalah itu sebagai pengundi hantu! Sedangkan kita tidak mengetahui pun mereka ini mengundi siapa..entah-entah sealiran parti politik dengan kumpulan yang menahan dan mengepung mereka itu.

Baca Selanjutnya......

Ahad, 11 Januari 2009

MENJADI PENGGUNA/PEMILIH YANG BIJAK

17 Januari 2009 adalah hari penentuan. Menentukan siapa dan parti manakah yang akan mewakili rakyat atau pengundi di P.036 Kuala Terengganu di Parlimen. Kita bukan memilih kerajaan kerana kerajaan sudah sedia terbentuk iaitu Kerajaan Barisan Nasional (BN) di peringkat pusat dan juga negeri.

Pengundi sebenarnya adalah pengguna. Sebagai pengguna yang bijak tentulah akan membuat pemilihan yang tepat dan mendatangkan faedah. Jika ia berbentuk barangan tentulah memilih barang yang berkualti dan mempunyai nilai faedah yang tinggi. Kalau ia perkhidmatan, perkhidmatan yang baik dan menyenangkan.

Itulah hak pengguna dan dalam konteks ini hak pengundi, yang perlu difahami dengan sejelas-jelasnya. Dalam pendidikan kepenggunaan terdapat lapan asas hak pengguna yang perlu diketahui dan difahami iaitu:

• Hak untuk mendapatkan keperluan asas, termasuklah makanan, pakaian,perumahan (tempat tinggal), kemudahan kesihatan, pendidikan dan sebagainya.
• Hak untuk mendapatkan keselamatan, sama ada barangan, perkhidmatan mahupun persekitaran yang selamat.
• Hak untuk mendapatkan maklumat yang benar dan tepat, bagi membuat keputusan yang betul dan tidak terpedaya oleh dakyah pengiklanan,pelabelan dan amalan lain yang palsu,penipuan dan penyelewengan.
• Hak untuk membuat pilihan, pengguna perlu dipastikan diberi pilihan dalam membuat keputusan, bukan secara paksaan dan kekerasan.
• Hak untuk bersuara; pengguna mendapat tempat dalam penggubalan dasar, tindakan yang cepat dan saksama daripada pentadbiran.
• Hak untuk mendapat ganti; ganti yang menyamai dan membawa faedah yang sama.
• Hak untuk mendapat pendidikan
• Hak untuk mendapat persekitaran yang selamat, bebas dari keadaan yang bahaya.

Kalau dianalisis tentang beberapa hak pengguna, di sini bermaksud hak pengundi, sudah tentu calon yang mewakili kerajaan adalah pilihan yang semestinya. Calon yang mempunyai kualiti dan nilai faedah yang tinggi. Bukan sahaja individu calon itu sendiri berkualiti dari segi latarbelakang pendidikan dan pengalamannya, budi pekertinya serta latarbelakang keluarganya tetapi kualiti dari segi parti atau pihak yang diwakilinya.

Calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Wan Ahmad Farid bin Wan Salleh dalam ertikata yang sebenarnya adalah ‘kerajaan’ yang memerintah sekarang ini. Beliau sesungguhnya mewakili kerajaan, mewakili Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Kabinet, Menteri Besar (Terengganu) dan agensi-agensi kerajaan pusat serta negeri.

Apa tidaknya, jika beliau menang dalam pilihanraya kecil ini, rakyat dan pengundi Kuala Terengganu telah diumumkan oleh kerajaan (YAB Dato’ Sri Mohd.Najib Tun Razak,Timbalan Perdana Perdana Menteri), bahawa calon BN ini, Dato’Wan Farid Wan Salleh akan dilantik semula sebagai Timbalan Menteri. Bermakna di sini, memilih di antara kerajaan dan bukan kerajaan.

Berdasarkan hak-hak pengguna/pengundi yang disenaraikan di atas tadi, kesemuanya adalah lebih baik dan menguntungkan memilih calon kerajaan.

Bagi mendapat keperluan asas, keselamatan yang terjamin, maklumat yang tepat, suara dan pandangan didengari serta dilaksanakan pandangan itu, hak mendapat ganti yang terbaik (sepertimana kualiti calon BN sebelum ini, Allahyarham Dato’ Razali Ismail, yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia), pendidikan yang sempurna, bahkan kehidupan yang selamat, sudah tentu pemerintah atau kerajaan yang boleh tunaikan. Kerajaan itu sebenarnya ialah calon BN, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh!

Ruslan Abdul Rahman

Baca Selanjutnya......