Ahad, 15 Februari 2009

UMNO yakin rampas semula KT – MB

Oleh : HASPAIZI MOHD ZAIN

UMNO yakin dapat merampas kembali kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang kini menjadi milik PAS setelah Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Kecil Parlimen itu, 17 Januari lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Ahmad Said, berkata beberapa perubahan akan dilakukan bagi merampas kembali Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya akan datang.

“Kita tidak perlu lagi bercakap pasal kekalahan lalu, sebaliknya kita perlu bekerja lebih kuat lagi dan mengatur strategi bagi merampasnya kembali. Saya yakin pilihan raya akan datang, Kuala Terengganu akan menjadi milik BN.

“UMNO sudah ada satu unit khas yang akan membuat penilaian serta rumusan terhadap kekalahan itu dan tindakan segera akan diambil bagi membaiki kelemahan,” katanya.
Beliau memberitahu pemberita demikian selepas Majlis Memasak Bubur Asyura Perdana, anjuran penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal, di perkarangan Masjid Meraga Beris, Kijal, baru-baru ini.

Mengulas mengenai beberapa laporan media elektronik tempatan yang berpendapat, kekalahan BN pada pilihan raya kecil itu adalah disebabkan cara berkempen tidak mesra rakyat, beliau berkata ia hanya berupa pandangan peribadi.
Katanya, sesiapa sahaja berhak menyatakan pandangan tersendiri mengenai punca kekalahan BN pada pilihan raya itu.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu, sekali lagi menegaskan bahawa pembangunan di Kuala Terengganu tetap diteruskan walaupun kawasan itu dimenangi PAS.

“Kerajaan akan meneruskan pembangunan di Kuala Terengganu seperti mana yang dirancang sebelum ini, segala janji kerajaan kepada rakyat Kuala Terengganu akan ditunaikan.

“Bagi pihak kerajaan kita tidak pernah mungkir janji, apa yang kita janjikan akan kita laksanakan walaupun dalam keadaan rakyat mungkir janjinya terhadap kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan komited untuk membangunkan Kuala Terengganu bagi menyediakan segala kemudahan kepada rakyat.

“Dakwaan bahawa kerajaan negeri akan menghentikan pembangunan di Kuala Terengganu adalah tidak berasas,” ujarnya.

Baca Selanjutnya......

Siapa bela hantu?

Oleh : Panglima Muda

Kemenangan Mohd Abdul Wahid Endut, pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari lalu, membuka mata orang ramai siapa yang sebenarnya bela “hantu”.

Sebaik pentas berkempen dibuka, Pas terus memukul canang, kononnya Barisan Nasional (BN) membawa masuk pengundi hantu ke Kuala Terengganu.

Berdasarkan dakwaan itu, sememangnya BN cukup ampuh untuk mempertahankan kerusi itu. Tetapi malangnya tewas kepada Pas dan ke mana perginya pengundi hantu BN yang didakwa Pas sebelum ini.

Ramai yang hairan dengan rekod buruk Abdul Wahid, selama lima penggal di Wakaf Mempelam, tanpa ada sebarang pembangunan dan hak rakyat dinafikan, beliau masih memenangi pilihan raya kecil itu.

Di mana letaknya kekuatan beliau, apakah Abdul Wahid benar-benar mampu menawan hati rakyat Kuala Terengganu, atau pun ada “hantu” yang membantu kemenangan beliau.
Persoalannya, apakah Abdul Wahid mampu menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu, adakah rakyat boleh menyandarkan harapan kepada beliau?

Sejauh mana beliau mampu memperjuangkan suara rakyat, apakah ada upaya untuk beliau meneruskan kesinambungan pembangunan di Kuala Terengganu?

Tetapi bagi Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, pembangunan tetap diteruskan di Kuala Terengganu seperti mana yang dirancang walaupun BN tewas.

BN akan terus berkhidmat kepada rakyat Kuala Terengganu, tanpa ada sikap prejudis, serta tidak akan mendiskriminasi rakyat walaupun penyokong pembangkang.

Kerajaan BN yang ada pada hari ini sedar, bahawa Pas tidak mampu melaksanakan tanggungjawab terbabit dan rakyat akan menderita sekiranya mengharapkan Pas.

Baca Selanjutnya......

Golongan muda perlu kenal UMNO

Pergerakan Pemuda Umno Kuala Terengganu, akan mencari pendekatan terbaik bagi merapatkan lagi hubungan golongan muda dengan UMNO.

Ketuanya, Badrol Hisham Zaki, berkata Pemuda akan mendekati golongan muda bagi memberi penerangan dan pendedahan perjuangan Umno kepada golongan ini.

“Apabila mereka tahu sejarah tentang perjuangan Umno, kita yakin mereka akan sedar tanggung jawab mereka kepada negara sekaligus menterjemahkannya di atas kertas undi.

“Ini penting kerana hari ini ramai anak muda berbicara tentang Umno, tetapi mereka tidak tahu sejarah perjuangan Umno,” katanya ketika dihubungi.

Badrol berkata, usaha untuk mesrakan lagi golongan muda dengan UMNO amat penting supaya parti dapat mengetahui dengan lebih jelas lagi kehendak mereka.

Katanya, Pemuda Kuala Terengganu kini sedang merangka beberapa program bagi golongan muda dan akan dilaksanakan selepas analisa kekalahan Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu dibentangkan.

Menurut beliau, analisa itu penting bagi mengenal pasti punca kemerosotan undi daripada pengundi muda, sekaligus bagi membaiki segala kelemahan yang ada.

“Sebenarnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak kehilangan pengundi muda, namun golongan muda yang menyokong Umno dan BN ramai tidak keluar mengundi.

“Inilah punca yang perlu kita cari, mengapa mereka tidak keluar menunaikan tanggungjawab. Apakah kerana mereka tidak ada kesedaran atau pun ada janji belum ditunaikan, mahupun kelemahan yang gagal kita atasi,” katanya.

Beliau berkata, setelah segala kelemahan dikenal pasti, Pemuda akan mengambil langkah drastik untuk mengembalikan semula sokongan golongan muda pada UMNO dan BN.

Baca Selanjutnya......

Keputusan rakyat

Keputusan telah dibuat oleh pengundi Pilihan Raya Kecil P036 Kuala Terengganu. Calon PAS memperolehi 32,883 undi, Barisan Nasional (BN) 30,252 undi manakala Bebas hanya meraih 193 undi. Manakala undi rosak 665 undi dan peratus keluar mengundi ialah 79.9 peratus.

Bermakna 19.1 peratus atau seramai 16,236 tidak mengundi. Jumlah yang tidak keluar mengundi ini sebenarnya mencorak keputusan pilihan raya itu. Mengapa tidak mengundi, hanya mereka sahaja yang tahu. Ada kemungkinan kerana memprotes sesuatu yang tidak disenangi atau kegagalan jentera mana-mana parti yang bertanding untuk mengesan pengundi ini.

Apa pun keputusannya, BN tetap berpendirian mahu meneruskan komitmen untuk meneruskan khimat kepada rakyat walaupun calon mereka tidak terpilih,sepertimana ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak semasa sidang media selepas pengumuman keputusan itu. Menteri Besar, Dato” Ahmad Said, pula menegaskan “ walaupun BN gagal memperolehi kerusi P036, konsep mesra rakyat dan merakyatkan pembangunan dan pentadbiran di Terengganu akan terus diperhebatkan.”

Pada masa yang sama, penyokong Pas terlampau gembira dengan kemenangan itu dan mereka beramai-ramai berarak mengelilingi bandar, membunyikan hon kenderaan kuat-kuat, sekalipun di kawasan hospital, menjerit-jerit dengan kata-kata kesat kepada pemimpin BN, bahkan kerana terlalu ghairah ada penyokong parti itu bertindak menjatuhkan bendera dan poster BN. Demikianlah beza dua penampilan yang amat ketara antara BN yang menerima kekalahan dan Pas yang memperolehi kemenangan.

Sebagai sebuah kerajaan yang dipilih majoriti rakyat, baik di peringkat Pusat mahupun Negeri Terengganu, BN menyifatkan kegagalan itu sebagai ujian untuk meningkatkan kualitinya dan keyakinan rakyat terhadap kebaikan dan kemantapannya.

BN bukan sahaja perlu berkualiti, tetapi hebat dan menawan. Ini kerana keputusan manusia adalah berdasarkan penglihatan dan rasa berkenan di hatinya. Seorang jurujual yang bijak mampu menjual barangannya sekalipun tidak berkualiti berbanding jurujual barangan berkualiti tetapi gagal memberi keyakinan kepada pengguna.

Ini perlu dipelajari bagaimana kemahiran berkempen sebenarnya merupakan kemahiran komunikasi. Kaedah-kaedah baru dalam kempen perlu diperkenalkan, teknik dan mempelajari ilmu dan strategi komunikasi adalah penting dalam mempengaruhi pengundi sama ada pada peringkat dasar atau peringkat pengamalannya.

Ada pihak yang merasuah kepada pengundi lebih hebat, datang membawa hadiah rumah ke rumah semasa berkempen, tetapi sebaliknya ia mampu menuding kepada lawannya yang memberi rasuah dan terdapat pula orang yang percaya bahawa mereka dikepung. Mereka turut menyamar dan mengejar pencuri sambil melaungkan, pencuri! pencuri!, walaupun dialah sebenarnya pencuri.

Selepas ini, Pas dan sekutunya terus dengan agenda ceramahnya bagi meraikan kemenangan dan mereka akan terus menabur janji untuk membela pengundi. Jangan pula pemimpin Pas bersikap meminta undi dan amanah diberi kepada Pas, pertolongan dan perkhimatan minta diajukan kepada BN.

Rakyat akan membuat pilihan semula, khususnya pada pilihan raya umum ke-13 (PRU 13). Sama ada pemimpin dan penyokong BN, mahu pun di pihak Pas dan sekutunya sudah pasti akan terus bersaing menawan hati pengundi dan rakyat!

Baca Selanjutnya......

Isnin, 9 Februari 2009

PENGURUSAN KAMPUNG DAN JKKK YANG BERKESAN

Oleh Ruslan bin Abdul Rahman

Hari ini ramai yang bercakap mengenai sistem penyampaian yang berkesan, termasuk di peringkat kampung. Mereka mahu melihat masyarakat di kampung mendapat pembelaan yang sewajarnya dan diberikan hak yang sama untuk menikmati pembangunan.

Hasrat itu amatlah murni. Di pihak kerajaan perkara ini sudah lama disedari, lantas telah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sejak tahun 1962 lagi (47 tahun yang lalu), selaras dengan Arahan No.3 Rancangan Pembangunan Negara dan Luar Bandar.

Pada ketika itu, JKKK ditugaskan menjadi penggerak di peringkat kampung untuk mengatasi empat masalah utama iaitu kemiskinan, masalah kesihatan, buta huruf dan sikap tidak peduli perkembangan persekitaran dan perubahan untuk masa depan atau ‘sikap tidak apa’dan tidak merancang masa depan.

Perubahan fungsi, fokus dan bidang tugas JKKK telah diselaraskan serta disesuaikan dari semasa ke semasa mengikut dasar, matlamat dan hala tuju yang ditetapkan: Gerakan Maju (1966), Jaya Diri (1968) dan Gerakan Pembaharuan (1972). Di sini jelas menunjukkan kerajaan berharap JKKK dapat berfungsi jentera strategic yang melaksanakan dasar-dasar negara di peringkat akar umbi.

Sesungguhnya harapan kerajaan untuk melihat kepimpinan kampung yang berkesan masih tidak berganjak. JKKK merupakan agensi yang menjadi komponen atau rangkaian penting kepada pentadbiran kerajaan. Bagaimanakah ia perlu dipertingkatkan kualiti, itu perlu difikirkan bersama. Nilai-nilai keberkesanan, integriti, kredibiliti, ketelusan dan ‘mesra serta cakna’ perlulah diberi penekanan, selaras dengan seruan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said bagi ‘merakyatkan pembangunan dan pentadbiran’.

Bukan di negara kita sahaja diwujudkan pentadbiran akar umbi ini. Di negara jiran, Indonesia ada diwujudkan Badan Permesyuaratan Desa yang diketuai oleh seorang Ketua Desa dengan tempoh lantikan selama enam tahun. Di Brunei juga ada diwujudkan sebuah lembaga di peringkat kampong yang cukup berperanan dan berkesan.

Kepemimpinan yang cemerlang sudah tentu datang dari kemahiran pengurusan dan ketrampilan mereka yang diberikan tanggungjawab dan amanah. Latihan dan bimbingan yang berterusan perlu diberi kepada Pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasa agensi peringkat akar umbi ini.

Program tahunan di peringkat kampong-kampung perlu dirancang dan dikendalikan; bukan sahaja menyentuh soal pembangunan fizikal, tetapi pembangunan modal insan, keselamatan, kebersihan sekitar serta kebajikan ‘anak buah’ perlu diberi perhatian yang seimbang.
Rakyat dan ahli kampung adalah pelanggan kita yang perlu dilayani dengan mesra dan penuh rasa tanggungjawab; jauh sekali diletakkan sebagai bebanan dan masalah kepada kita. Kita sudah menerima amanah untuk memimpin dan mengurus kampung, lantas laksanakanlah sebagaimana kita telah bersedia untuk menerima jawatan dan tanggungjawab itu, kerana jawatan bukan mahkota melainkan amanah jua.

Sistem maklumat dan data mengenai ‘anak buah’ dalam jagaan perlu kemaskini supaya jangan sampai kejadian anak buah bermasalah tidak dihiraukan. Layani mereka dengan penuh adil dan saksama.

Dulu secara tradisi wujud dengan sendirinya institusi ketua kampung (juga dipanggil tok penghulu) dari kehendak masyarakat sekitarnya yang bertindak menjadi ‘bapa dan pembimbing’ kepada anak-buah di kampung.

Kini, dengan perubahan masa dan zaman, ia telah diurus secara sistematik dan berorganisasi, bukan lagi atas kepemimpinan peribadi ‘seorang ketua kampung’ tetapi melalui sebuah jawatankuasa. Sudah tentu ia lebih cekap, berintegriti dan berkredibiliti. Apatah lagi masa kini bersama JKKK ada pemimpin dan agensi kerajaan menjadi sandaran untuk memberi perkhimatan terbaik kepada rakyat.

Baca Selanjutnya......

Ahad, 8 Februari 2009

KEPUTUSAN RAKYAT

oleh Ruslan bin Abdul Rahman

Keputusan telah dibuat oleh pengundi pilihan raya kecil P.036 Kuala Terengganu. Calon Pas memperolehi 32,883 undi, calon Barisan Nasional (BN) 30,252 manakala calon bebas hanya mampu meraih193 undi. Manakala undi rosak 665 undi dan peratus keluar mengundi ialah 79.9 peratus.

Bermakna 19.1 peratus atau seramai 16,236 tidak mengundi. Jumlah yang tidak keluar mengundi ini sebenarnya mampu mencorak keputusan. Mengapa tidak mengundi, hanya mereka sahaja yang tahu.

Ada kemungkinan kerana memprotes sesuatu yang tidak disenangi atau kegagalan jentera mana-mana parti yang bertanding untuk mengesan para pengundi ini.

Apa pun keputusannya, BN tetap berpendirian mahu meneruskan komitmen untuk meneruskan khidmat kepada rakyat walaupun calon mereka tidak terpilih, sepertimana ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd.Najib Tun Razak semasa sidang media selepas pengumuman keputusan.

Begitu juga ditegaskan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said bahawa konsep mesra rakyat dan merakyatkan pembangunan dan pentadbiran di Terengganu akan terus diperhebatkan.

Sebagai sebuah kerajaan yang dipilih oleh majoriti rakyat, baik di peringkat pusat mahupun Negeri Terengganu, BN menyifatkan itu sebagai ujian untuk mempertingkatkan kualitinya.

BN bukan sahaja perlu berkualiti, tetapi perlu dilihat berkualiti, hebat dan menawan. Ini kerana keputusan manusia adalah berdasarkan penglihatan dan rasa berkenan di hatinya.

Seorang jurujual yang bijak mampu menjual barangannya sekalipun tidak berkualiti berbanding jurujual barangan yang berkualiti tetapi gagal memperlihat dan meyakinkan pengguna.

Ini perlu dipelajari bagaimana kemahiran berkempen, sebenarnya merupakan kemahiran-kemahiran komunikasi.

Kaedah-kaedah baru dalam kempen perlu diperkenalkan, teknik dan mempelajari ilmu dan strategi komunikasi adalah penting dalam mempengaruhi pengundi sama ada pada peringkat dasar atau peringkat pengamalannya.

Baca Selanjutnya......