Rabu, 17 Jun 2009

Pemimpin UMNO Sentiasa Turun Padang



Perkataan ‘turun padang’ tiba-tiba menjadi popular sebaik sahaja Dato’ Sri Mohd.Najib Tun Abdul Razak menerajui negara. Beliau bukan sahaja melontarkan gesaan ini kepada pemimpin, tetapi sebagai pemimpin nombor satu negara, beliau sendiri mempraktikkannya sebaik sahaja menerima jawatan utama itu.



Sebaik sahaja beliau mengambil alih pentadbiran negara, agenda pertama yang dilakukan ialah “turun padang” yang disifatkannya sebagai tinjauan mesra seperti di Puduraya dan sekitarnya

"Saya melawat Puduraya kerana sebahagian besar rakyat menggunakan Puduraya, terutama nak balik kampung, cuti raya. Saya tengok, dan bukan sahaja tengok dengan kepala dan mata saya sendiri keadaan di situ, tetapi juga dapat menghidu udara dan bau di situ. Saya katakan berbeza dengan taklimat yang diberikan oleh pegawai berbanding (apabila) turun dan melihat keadaan sebenar di Puduraya.Banyak bezanya, macam bumi dan langit," katanya.

Oleh sebab itu, tambahnya, beliau mahu turun padang dan tidak mahu sebarang formaliti seperti hamparan merah, bunga manggar dan tanpa krew tv (media).

Katanya lagi, beliau akan tetap turun padang kerana mahu meninjau sendiri bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Justeru itu mutakkhir ini ucapan Dato’ Sri Najib ada saja penekanan terhadap isu turun padang oleh wakil-wakil rakyat. Isu turun padang ini bagi Najib merupakan isu utama untuk menyampaikan pesanan dan menghayati denyut kehidupan rakyat di akar umbi.

Dato’ Sri Najib dalam siri lawatan mengejut atau yang telah diatur menunjukan tauladan ini. Beliau sanggup berjalan kaki; melihat sendiri keluh kesah rakyat dalam pelbagai suasana.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin baru-baru ini semasa melawat Terengganu meninjau dan melihat sendiri batas pembangunan di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu (termasuk Pasar Payang dan Stesen Bas) Di Bandaraya Kuching pula beliau sanggup berjalan sejauh tiga kilometer semata-mata memperkasakan amalan turun padang.

Berasaskan kepada berita yang telah dilaporkan, pemimpin nombor satu dan dua negara ini mempraktikkan amalan turun padang ini dan di siinilah mereka dapat menyaksikan kepelbagaian dan keanekaan ragaman aktiviti masyarakat pelbagai lapisan di negara ini.

Di Terengganu, kita juga bertuah kerana dianugerahkan seorang Ketua Kerajaan yang juga menjadikan rakyat sebagai keutamaan, sekaligus sentiasa turun padang bersama rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said awal-awal lagi mendasari pentadbiran dan pembangunan negeri dengan keutamaan kepada rakyat. Beliau memperkenalkan ungkapan ‘Merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ sebaik sahaja diberi amanah sebagai orang nombor satu di Terengganu.

Beliau memperkenalkan program rakyat bersama beliau di setiap daerah, sehingga ini telah dilaksanakan di daerah Kuala Terengganu, Besut dan Marang; tidak termasuk program-program lain yang beliau pergi secara mengejut menemui rakyat dan penduduk tertentu yang menghadapi masalah, ditimpa bencana dan sebagainya.

Amalan Dato’ Ahmad selaras dengan gesaan Dato’ Sri Najib Tun bahawa menjadi dasar Barisan Nasional (BN) di mana setiap pemimpin perlu melawat mangsa yang menghadapi bencana bagi tujuan mengenal pasti bentuk bantuan yang diperlukan mereka. Bagi Dato’ Sri Najib wakil rakyat BN perlulah menjadi orang yang pertama turun padang untuk melihat sejauh mana usaha yang diperlukan untuk membantu mangsa.

"Kita mengarahkan semua pemimpin dan wakil rakyat kalau ada apa-apa mereka mesti turun ke padang, malah antara orang pertama berada di tempat kejadian berkenaan," katanya.

Walaupun dalam isu ‘turun padang’ ini Menteri Besar Selangor (dari PKR), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempunyai sikap lain dengan menganggap tindakan untuk turun padang melihat mangsa merupakan sesuatu yang membuang masa dan membazir wang, tetapi itu pandangan dia dan partinya, rakyat boleh buat membuat pertimbangan.

Bagi Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar beliau telah mengarahkan bantuan makanan dan tempat tinggal diberikan kepada mangsa banjir dan ribut dalam satu kejadian di Selangor baru-baru ini

Menteri Besar Selangor (PKR) itu mempunyai pendapat sendiri bahawa walaupun sokongan moral pimpinan politik itu penting, tetapi mangsa lebih memerlukan bantuan, bukan ‘public relations’ semata-mata- demikianlah pendapatnya walaupun bagi Dato’ Sri Najib menyatakan pentingnya pemimpin turun padang dalam situasi bencana.

Kata Dato’ Sri Najib sebagai seorang pemimpin, melawat mangsa malapetaka seperti ribut, kebakaran, banjir adalah sebahagian daripada tanggungjawab sebagai seorang pemimpin, ia memperlihatkan keprihatinan pemimpin kepada anggota masyarakat yang ditimpa bencana."

Ini bersesuaian dengan ungkapan beliau yang berbunyi,’ kita mesti faham, mesti merasai denyutan nadi rakyat, kita mesti merasainya.”

Persoalannya sekarang, apakah pendekatan pemimpin utama negara dan negeri ini dituruti sama oleh wakil-wakil rakyat lain, khususnya yang mewakili BN, pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin-pemimpin parti di peringkat akar umbi, pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan lain-lain yang bertaraf pemimpin, kecuali pembangkang lainlah kerana mereka mempunyai pendapat yang berbeza (sebagaimana ungkapan MB Selangor dari PKR).

Jika diterima pakai,apakah keadah ini hanya untuk sementara dan sambil lewa sekadar melepas batuk di tangga? atau sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Misalnya kalau ketua kampong turun padang sudah pasti segala maklumat di dalam kawasan jagaannya mudah diperolehi untuk dipanjangkan ke pihak lebih atas dan tidak akan berlaku cerita-cerita penderitaan dan sebagainya.

Kelangsungan kaedah ini penting dan adalah menjadi perhatian rakyat dalam tempoh beberapa tahun ini sebelum Pilihanraya ke 13, semoga isu ini bukan menjadi isu dan isu yang tidak perlu dijawab terpaksa diberi jawapan pada masa pilihanraya nanti.
Kita percaya program pemimpin turun padang ini membawa pengertian yang besar kerana ia membuktikan kecaknaan dan komitmen pemimpin khususnya di dalam meneruskan tradisi membela masyarakat melalui pendekatan mesra rakyat.

Pada masa yang sama, ia juga satu kesempatan terbaik bagi pemimpin, kerajaan dan pimpinan parti melihat sendiri keadaan masyarakat terutama di luar bandar yang secara langsung memberi input berguna bagi memperbaiki kekurangan yang ada.
Sementara itu Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga berpendapat ‘turun padang’ itu penting. Kesatuan ini pernah mencadangkan supaya Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi perkhidmatan awam harus menekankan kepada soal perancangan, penyelarasan, keberkesanan dan produktiviti dan pada masa yang sama adalah penting bagi pemimpin tinggi kerajaan seperti menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha dan ketua jabatan turun padang bagi merasai apa yang dilalui oleh rakyat.

Adalah penting untuk pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan supaya sentiasa turun padang dan mengetahui secara dekat kelemahan dan cara menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan awam, tanpa menafikan banyak jabatan kerajaan telah melakukan penambahbaikan dalam sistem penyampaiannya tetapi masih ada banyak ruang memperbaiki lagi sistem perkhidmatan bermutu tinggi.

Dalam sejarah Islam, Khalifah Omar Abdul Aziz ‘turun padang’ secara menyamar dengan tidak memperkenalkan identitinya. Tujuannya adalah bagi mendapat maklumat yang sebenar dan tepat.

Pemimpin yang menyamar untuk mendapatkan maklumat sebenar rakyat juga pernah berlaku dalam pentadbiran di negara kita.

Misalnya Dato’ Hassan Ibrahim (bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan) dan Datuk Ishak Tadin (bekas Pengurus Besar KTM) yang banyak kali turun padang menyamar dengan pelbagai identiti untuk mengetahui masalah sebenar rakyat dan pelanggan agensinya.

Marilah juga kita hayati model kepemimpinan Saidina Umar Al-Khatab semasa menjadi khalifah Islam kedua. Kisah bagaimana Saidina Umar yang turun ke padang melihat rakyatnya pada waktu malam ketika rakyatnya tidur. Kisah bagaimana Khalifah Umar yang menyantuni nasib seorang wanita tua yang sedang memasak sesuatu (merebus batu) untuk anak-anaknya yang sedang kelaparan. Kerana prihatinnya maka Khalifah Umar R.A sendiri pergi ke Baitulmal dan membawa sendiri keperluan wanita itu sendiri tanpa mengharapkan bantuan pekerjanya.

Di akhir kisah ini, wanita itu berkata; “Mudah-mudahan Allah S.W.T akan membalas budi baik tuan, sesungguhnya tuan yang sepatutnya menjadi Amirul Mukminin,bukannya Umar Al-Khatab.”

Syaidina Umar mendengar percakapan itu dengan perasaan gembira walaupun sebenarnya umar Al-Khatab itu adalah dirinya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan