Khamis, 24 Disember 2009

RM1.8 BILLION HADIAH TERTINGGI UNTUK RAKYAT TERENGGANU

semoga kesan bajet dinikmati

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

RM1.881 billion diperuntukkan bagi Bajet 2010 Negeri Terengganu, suatu peruntukkan yang tertinggi untuk rakyat berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Ia melebihi 0.08 peratus atau RM1.45 juta dari bajet 2009. Ini suatu hadiah untuk rakyat Terengganu. Namun kita jangan lupa bahawa 92 peratus dari sumber bajet itu datangnya dari royalti minyak. Bersyukurlah atas pemberian dan atau anugerah itu.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said sewaktu membentangkan Bajet ini pada 21 Disember lalu sekali lagi menegaskan bahawa mendahulukan kehendak dan kepentingan rakyat adalah asas yang akan terus menunjangi fokus dan pendekatan kerajaan.

‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ terus dikekalkan sebagai tema bajet atau belanjawan Terengganu, bermakna bajet ini adalah bajet dari rakyat untuk rakyat.

MB Terengganu mengumumkan tiga strategi utama bajet:
• Membangunkan Modal Insan yang berkualiti
• Menjamin Kesejahteraan Rakyat
• Meningkatkan Daya Saing Negeri

Membangunkan modal insan berkualiti atau mudahnya tumpuan kepada bidang pendidikan adalah perkara yang berterusan dilakukan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Antara perkara-perkara yang dinyatakan ialah tentang Porgram Pintar Al-Quran (RM2.2 juta diperuntukkan), tadika cemerlang atau TB Kids (RM2.1 juta), e-Book (RM50 juta), Program Remaja (RM30 juta) dan lain-lain yang boleh dirujuk pada ucapan penuh bajet Terengganu 2010.

Namun berdasarkan dengan angka dan peruntukan sahaja tidak cukup dan menjamin hasil dan harapan, melainkan perlukan kesedaran bersama dan perjuangan secara kolektif rakyat dan kerajaan.

Tidak wajar membiarkan kerajaan sahaja berstrategi dan mengadakan bajet, tetapi semua pihak perlu tampil bersama membantu kerajaan menjayakan hasrat murni membangunkan modal insan yang berkualiti ini.

Insan yang berkualiti ini bukan sahaja dari segi kecemerlangan akademiknya, tetapi sahsiah dan kejatian dirinya. Jati diri beerti mampu menghayati sejarah perjuangan bangsanya dan tahu dari mana datang dirinya supaya tidak hanyut dengan kemodenan yang negatif.




Gejala ‘mat rempit’ bukan sahaja menular kepada insan yang tidak terpelajar, tetapi ada juga yang mempunyai latarbelakang akademik yang baik; tetapi mereka tiada jati diri, mereka tidak peka bahawa apa yang mereka lakukan itu tidak baik kepada diri dan orang lain.

Mereka lupa apa yang mereka lakukan menyusahkan keluarga, masyarakat dan negara; mereka lupa asal usul keluarga dan keturunan mereka yang menuntut mereka fokus kepada perjuangan kecemerlangan keluarga dan masyarakatnya dan bukannya berfoya ikut suka hati.

Oleh itu, memberi kekuatan spiritual dan jati diri kepada mereka amatlah wajar juga di samping kekuatan akademik. Peruntukkan untuk remaja ini perlu mengambil kira ke a rah membentuk jati diri dan semangat kesedaran patriotik dan anti perkara-perkara yang menyusahkan orang lain, keluarga dan masyarakatnya.

Menjamin kesejahteraan masyarakat adalah nilai perjuangan kerajaan yang amat murni. Namun begitu kesejahteraan itu amat subjektif sifatnya. Dalam Islam kita sentiasa dianjurkan mengucapkan salam kesejahteraan buat anak saudara seagamanya.

Menurut kamus terbitan Fajar Bakti, sejahtera adalah bebas dari segala macam kesusahan, aman sentosa makmur dan selamat. Maknanya inilan hasrat dan strategi bajet kita terhadap rakyat.

Asas kehidupan manusia ialah makan-minum, tempat tinggal, pakaian, kesihatan dan pendidikan.

Maka wajarlah sekali disebut dalam bajet ini usaha-usaha membasmi kemiskinan diteruskan melalui program baiki dan bantuan rumah dan serta bantuan atap (RM50 juta), meningkatkan tahap kesihatan rakyat termasuk mewujudkan tabung untuk pesakit kronik (RM10 juta), meningkatkan bidang pertanian yang melibatkan sebahagian besar rakyat, meningkatkan pembangunan bandar dan luar bandar, membantu bidang keusahawanan dan perniagaan rakyat dan sebagainya.

Walau pun ada pihak yang bertanya mengapakah soal kemiskinan terus-menerus dibicarakan, tidak habis-habis dan tidak selesai. Cubalah tanya negara mana tiada kemiskinan atau orang miskin? Jawabnya semua ada.

Cubalah tanya pula negara dan kerajaan mana yang amat cakna terhadap golongan miskin dengan pelbagai usaha, bantuan dan pertolongan? Rasanya tidak salah kalau kita katakana Malaysia nombor satu!

Strategi ketiga bajet Terengganu 2010 ialah meningkatkan daya saing negeri. Persaingan yang dimaksudkan adalah secara sihat. Kita tentulah mahu melihat negeri ini dan rakyatnya mampu bersaing hatta ke peringkat global.


Kita mahukan negeri kita didatangi pelabur, dikunjungi pelancong dan kita mahukan apa yang ada di tempat lain juga ada di tempat kita serta apa yang mampu dilakukan oleh rakyat negeri dan negara lain mampu juga oleh rakyat kita. Malah kita mahu jadi yang terbaik.

Program dan produk ‘Teganukite’ bertaraf antarabangsa. Sudah ada anak Terengganu yang jadi jaguh dunia dalam sukan lumba basikal dan bot formula future,sudah ada pembuat bot mendapat tempahan antarabangsa, program-program sukan bertaraf antabangsa pun sudah wujud di tempat kita. Yang terbarunya kita mencipta e-book yang ditempah oleh dunia luar; Terengganu mampu dan mempunyai daya saing hebat sebenarnya!

Marilah kita berfikir secara positif dan mencari persamaan dan bukannya perbezaan antara kita supaya perpaduan terus kental. Mengkritik dan mencari kesalahan terlalu mudah, meroboh lebih mudah dari membina dan menjahanamkan lebih mudah dari mencipta.

Bajet ini perlukan dibelanjakan secara berhemat dan memberi impak dan kesan (outcome) kepada rakyat. Itulah hasrat pucuk pimpinan. Sama-samalah kita menjayakannya dalam bentuk kenyataan dan praktikal.


Baca Selanjutnya......