Khamis, 16 April 2009

SIDANG DUN BERJALAN SEPERTI BIASA

Oleh: Ruslan Rahman



1. Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang bersidang selama tiga hari berjalan dengan seperti biasa walaupun mendapat liputan yang hangat dan meluas. Kehangatan itu mungkin disebabkan oleh laporan media yang begitu banyak dan penyiaran komen-komen yang berbagai.

2. Namun Terengganu di bawah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) terus menjunjung keutamaan kepada rakyat sebagai perkara terpenting. Merakyatkan pentadbiran dan pembangunan adalah pendekatan yang cukup berkesan dan menepati cita rasa rakyat. Lantaran itu rakyat mahu agenda itu diteruskan tanpa sebarang gendala. Mereka amat tidak seronok kalau cerita-cerita dan percaturan politik berlebihan mengatasi agenda untuk menolong dan membahagiakan mereka.

3. Royalti yang sedang dibayar semula kepada Negeri Terengganu hasil perjuangan pimpinan kerajaan dan rakyat Terengganu merupakan cerita gembira buat rakyat Terengganu. Terbaru, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said sebanyak RM650 juta telah dierima lagi dari jumlah keseluruhan yang patut diterima RM1,394 juta. Walaupun pembangkang agak tidak berpuas hati dan mahukan lebih banyak lagi, tetapi ingatlah kata orang jangan terlalu gelojoh. Proses rundingan dan perbincangan masih berjalan, tidakkan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah ia.

4. Wang dan kebendaan bukan segala-galanya. Ini pun selalu disyarahkan oleh pemimpin pembangkang, khususnya PAS, jangan pula dalam hal ini buat-buat lupa. Pengisian dan cara perbelanjaan yang berhemah adalah lebih baik, sekalipun dengan wang yang tidak banyak. Sudah tentu adanya hikmah disebalik wang itu tidak datang sekaligus, supaya kita tahu mengurus dan membelanjakannya secara berhemah dan tidak kabur mata. Berilah ruang kepada BN Terengganu dan Dato’ Ahmad Said menunjukkan usaha dan pendekatan dalam mengurus perbelanjaan dan pembangunan negeri yang merakyat ini.



5. Pemimpin Pas yang jadi pembangkang di DUN Terengganu sebenarnya tidak boleh ‘cakap banyak’ sangat kerana masa mereka diberi kuasa mentadbir dulu banyak perkara yang tidak betul dilakukan. Banyak salahguna kuasa dan wang rakyat disalahgunakan, kronisma, nepotisma, sikap ganas, skandal balak dan sebagainya lagi , tidak boleh dilupakan begitu sahaja oleh rakyat. Rakyat masih ingat! Rakyat dan pengundi akhirnya menukar semula kerajaan Pas Terengganu kepada BN…..harap-harap wakil-wakil rakyat BN yang duduk di kerusi penyokong kerajaan bangun dan bongkarkan jika wakil rakyat Pas seperti Haji Hadi, Harun Taib dan Wahid Endut cakap banyak dan cakap pandai, bersyarah dan sebagainya di persidangan.

6. Kita manusia yang di anugerahkan hati dan pemikiran atau nafsu dan kotak fakir sekaligus. Uruskanlah kedua-dua itu dengan terbaik maka kita akan menjadi orang yang paling bertaqwa kepada Allah. Carik-carik bulu ayamnya akhirnya bertangkuk semula, biduk lalu kiambang bertaut. Sesama kita perlu bersatu menghadapi cabaran masa depan yang lebih hebat. Sebab itulah barangkali Haji Hadi sudah mulai mengajak untuk bersatu dan berkongsi kerana sudah mulai sedar kesilapan yang lalu bila kita sesama kita terus berseteru yang untungnya pihak lain.


7. Kepada orang Umno dan BN Terengganu, bukankah sudah menyatakan serik berada di bawah Pas dulu. Serik doh weh!! Jangan sampai pelanduk melupai jerat….kerana jerat tidak pernah lupakan pelanduk!

Baca Selanjutnya......

Ahad, 12 April 2009

KERAJAAN CAMPURAN SATU REALITI ATAU FANTASI?

Oleh : Ruslan bin Abdul Rahman

Politik Malaysia khususnya di kalangan umat Islam di negara ini dikejutkan dengan satu senario baru bila kepimpinan utama PAS (Presiden PAS) mengemukakan kesediaan untuk sama-sama berada dalam Kerajaan campuran.

Bermakna kalau sekarang Barisan Nasional (BN) yang memerintah Malaysia, PAS sedia bersama. Suatu perkembangan yang mengejutkan kerana selama ini ia dianggap sesuatu yang terlalu sukar, apa tidaknya sehinggakan orang-orang UMNO yang mengetuai kepemimpinan BN dituduhan kafir kerana berpadu dalam pakatan politik dan menubuhkan kerajaan. (sila rujuk berbagai fatwa yang dikeluarkan sebelum ini oleh pimpinan PAS).

Apabila cadangan sebaliknya dikemukakan (berpaling 90 darjah dari pegangan asal) sudah tentu ia perlu dibincang dan disepakati dengan penuh rasa kasih sayang dan melupakan cerita lama dan membuka ‘buku baru’ serta bertaubat kepada Allah di atas kesilapan yang lalu.

Kepemimpinan PAS perlu membuktikan keikhlasan berhubung cadangan penubuhan kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang di negara ini bukan sekadar gimik politik.

Tidak ada yang tidak sayangkan negara dan bangsanya dan tidak ada yang mahukan perpecahan berterusan melainkan semuanya inginkan sebuah perpaduan dan kerjasama. Semua sudah rasa mual hidup dalam sengketa terutama sesama sendiri, hingga membawa kafir-mengkafir sesama Islam. Namun setakat ini cadangan tersebut hanya sekadar cadangan tanpa sebarang butiran serta kenyataan rasmi daripada kepimpinan tertinggi parti berkenaan.

Tanpa mahu bersikap buruk sangka, hakikatnya jelas beliau PAS sebenarnya terikat dengan rakan-rakan pakatannya DAP dan PKR. Tetapi pimpinan tertinggi PAS pernah melahirkan bersedia untuk tidak bersama pakatan, terutama kalau pakatan mahu menubuhkan kerajaan jika sekiranya bukan Melayu Islam medominasikannya.

PAS mesti buktikan keikhlasan dan kesungguhan bukan sekadar cadangan semata-mata Yang penting adalah butiran rasmi mengenai perkara itu agar ia dapat dinilai dan diteliti oleh kedua-dua pihak khususnya kepimpinan UMNO/BN untuk tindakan selanjutnya.

Walaupun antara Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) dan Datuk Nik Aziz Nik Mat (Mursyidul Am PAS) bercanggah dalam perkara ini, tetapi jika semuanya jujur, ikhlas dan insaf itu semua boleh diselesaikan; kita tidak tahulah mana satu yang lebih berkuasa atau menjadi nakhoda sebenar, Presiden atau Mursyidul Am.

Adalah satu perkembangan yang baik demi kepentingan rakyat negara ini khususnya perpaduan di kalangan orang-orang Melayu dan juga bukan Melayui. Malah jika PAS berhasrat untuk bekerjasama dengan UMNO dan menarik balik semua tuduhan kafir kepada UMNO seperti sebelum ini pun tidak ada masalah dan kita yakin dan percaya pimpinan UMNO mengalu-alukan kerana UMNO bersikap terbuka.

UMNO dan BN dalam sejarahnya sentiasa bersikap terbuka kepada cadangan munasabah yang meletakkan kepentingan orang Melayu dan negara selain untuk kebaikan semua rakyat Malaysia, (dibuktikan melalui penubuhan Barisan Nasional 1974 dan penyertaan PAS dalam kerajaan waktu itu) tetapi sejauhmana keikhlasan pihak yang membuat cadangan itu. Apakah cadangan itu benar-benar datang dari keikhlasan dan rasa keinsafan; hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Kita tidak mahu ini hanyalah sekadar kenyataan gimik daripada pimpinan tertingginya yang ingin membersihkan imej penyebab perpececahan selama, imej kafir-mengkafir sesama Islam, imej melampau kepada imej baru yang lebih harmonis, Islamik dan diterima oleh pihak ramai.

Baca Selanjutnya......

PENGAJARAN DARI GAZA, PALESTIN.

Oleh: Ruslan Abdul Rahman




Menarik untuk direnungi tentang penderitaan umat Islam Palestin di Gaza yang derita akibat serangan pihak Israel yang tiada berperikemanusiaan.

Pembunuhan secara beramai-ramai terhadap warga Palestin, khususnya yang berada di Gaza tanpa mengira sesiapa, sama ada orang tua atau kanak-kanak bukan lagi perkara yang mengejutkan kerana kalau boleh Israel mahu lenyapkan terus warga Palestin dari buminya. Pengguguran bom kimia oleh tentera Israel sudah tidak menjadi kesalahan lagi dalam perang.

Sudah banyak peristiwa pembunuhan seperti itu sebelum ini ke atas rakyat Palestin yang tanahair mereka dirampas oleh Israel sehingga ramai di kalangan mereka menjadi ‘pelarian’ di merata tempat di bumi sendiri dan negara-negara jiran; bahkan ada yang sedang dipenjarakan oleh pihak lawan.

Memanglah menjadi hasrat pihak Israel mahu menghapuskan kewujudan umat Islam Palestin sejak sekian lama setelah kewujudan negara Isreal pada tahun 1947. Malanglah bagi umat Islam di Palestin, tanahair mereka dirampas, bangsa mereka pula mahu dihapuskan!

Bertambah malang lagi ketika berdepan dengan musuh yang nyata (Israel), umat Islam dan pimpinan di Palestin secara berterusan sejak sekian lama bertelagah sesama sendiri, merujuk kepada Fatah dan Hamas dan lain-lain kumpulan lagi.

Kumpulan Fatah (fatah bermaksud penaklukan) ialah Gerakan Nasional Pembebasan Palestin (Harakat at Tahrir al-Wathani al-Filasthini) yang wujud sejak tahun 1958 yang dipimpin oleh Allahyarham Yasser Arafat. Peringkat awalnya ia tidak terbabit sebagai parti politik tetapi akhirnya bergabung dengan dengan PLO (Organisasi Pembebasan Palestin) sebuah parti politik yang turut dipimpin oleh Yasser Arrafat.

Kumpulan Hamas (Harakat al-Muqawwamatul Islamiyah yang bermaksud Gerakan Perlawanan Islam )juga suatu kumpulan besar dan berpengaruh di Palestin. Hamas diasaskan oleh Syeikh Ahmad Yassin yang terpengaruh dengan gerakan Hassan Al Banna di Mesir.

Namun Hamas yang pada peringkat awalnya diwujudkan dengan restu Isreal pada tahun 1978 bagi tujuan menyaingi Fatah dan PLO (sebagai pemecah perpaduan di Palestin) menjadi musuh ketat Israel, bahkan tidak mahu mengakui atau mengiktiraf negara Israel sehingga sekarang. Syeikh Ahmad sendiri dibunuh oleh tentera Israel pada Mac 2004.


Fatah dan Hamas dua kumpulan terbesar yang sentiasa berseteru,walaupun dalam keadaan berdepan dengan musuh. Fatah yang berpadu dengan ‘Palestin Liberation Organisation’ atau PLO mendapat sokongan padu dari Presiden Mahmud Abas

Kumpulan Hamas yang menguasai Gaza tetap mempertahankan kedaulatan mereka. Mereka yang memenangi pilihanraya Palestin pada Mac 2006 merasakan mereka berhak untuk mengetuai kerajaan Palestin.

Walaupun sebelum ini Perdana Menteri Palestin dari kumpulan mereka Ismail Haniyeh, tetapi akhirnya Presiden Mahmud Abas (yang pro Fatah) yang menjadi Presiden Palestin sejak 2005 memilih Salam Fayyad sebagai Perdana Menteri yang sah bagi Palestin pada Jun 2007.

Kumpulan Hamas adalah kumpulan yang amat ekstrim yang sama sekali enggan mengakui kewujudan negara Israel, manakala kumpulan Fatah adalah mewakili kelompok yang pro perdamaian dengan Israel.

Peperangan saudara di antara Fatah dan Hamas terus menjadi-jadi, pada masa yang sama mereka pula terpaksa berdepan dengan Israel. Hamas dapat menduduki Gaza pun sebenarnya kerana kemenangan mereka merampas kawasan itu dari puak Fatah dan PLO. Apakah erti ini semua?

Umat Islam di Palestin perlu bersatu terlebih dahulu untuk berdepan dengan Israel. Negara-negara Islam yang berjiran dengan Palestin juga perlu memberi sokongan dan pertolongan kepada pihak Palestin dan bukannya turut menjadi alat kepada pihak Barat untuk meruntuhkan Palestin dan membina Isreal yang gemilang.

Apakah cukup dengan menghantar bantuan berupa pakaian, kewangan dan perubatan tanpa sama-sama memikirkan masa depan umat Islam Palestin itu sendiri. Tidak adakah suatu pihak yang mahu menjadi pengantara bagi menyatukan umat Islam di Palestin itu?

Yang pastinya pengajaran kepada kita, kalau kita berpecah sesame sendiri itulah akibatnya, seperti kata pepatah Melayu, bersatu kita teguh, bercerah kita roboh. Bagaimanakah kita di Malaysia?

Baca Selanjutnya......