Rabu, 11 Mac 2009

BERBELANJA MERANGSANG EKONOMI

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Melalui Bajet Mini yang dibentangkan oleh Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak, rakyat mendapat maklumat bahawa kerajaan telah memperuntukkan RM60 billion bagi merangsang kegiatan ekonomi.

Empat teras utama ialah mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan (RM2 billion), meringankan beban rakyat, terutama golongan mudah terjejas (RM10 billion), membantu sector swasta menghadapi krisis (RM29 billion) dan membina keupayaan masa depan (RM19 billion). Sebelum ini juga kerajaan telah memperuntukkan RM7 billion bagi tujuan yang sama. Semua ini bagi mengelak negara kita dari terjejas terus lantaran krisis ekonomi dunia.

Sama ada rakyat secara keseluruhannya sedar atau tidak bahawa negara sedang berdepan dengan krisis ekonomi global, hakikatnya dunia sekarang sedang dilanda krisis ekonomi yang tenat dan tempiasnya sedikit demi sedikit sedang melanda negara kita.

Negara kita yang amat bergantung kepada eksport (menjual barang atau perkhidmatan keluar negara) dan rakyat yang ada kaitannya dengan sektor tersebut telah mula terasa kesannya. Sebagaimana dilaporkan pada Januari tahun ini sahaja, kadar eksport negara jatuh hampir 28 peratus.

Harga kelapa sawit dan semua komiditi eksport mengalami penurunan harga yang mendadak. Pelaburan asing juga jatuh hampir separuh pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya, pada masa yang sama harga saham juga menjunam.

Pengangguran juga melanda negara kita; sejak Oktober 2008 dilaporkan 25,000 telah hilang pekerjaan, 30,900 orang telah diberhentikan sementara dan 23,900 telah bekerja dengan pengurangan gaji. Apakah ini disedari atau tidak oleh kita di Terengganu? Apakah kita sudah membuat persiapan untuk membantu sama negara berhadapan dengan masalah ini serta membantu merangsang semula ekonomi negara agar tidak terlalu tertekan dengan krisis ekonomi global itu atau sekurang-kurangnya sudahkah memohon doa kepada Allah agar negara kita terselamat?

Perkataan merangsang bolehlah difahami sebagai membangkitkan, menggiatkan atau mendorong. Bagaimana rakyat boleh membantu bagi menjayakan rangsangan ekonomi negara.; perkara ini perlu penghuraian serta penerangan yang jelas untuk rakyat dan akar umbi. Pemimpin dan ahli-ahli ekonomi boleh turun padang menerang dan memandu arah cara kepada akar umbi dan sudah tentu agensi di peringkat akar umbi seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu diberi kefahaman dan terlebih dahulu, untuk disampaikan pula kepada anak-buah.

Bagaimana perlunya rakyat mengetahui dan yakin bahawa berbelanja itu boleh membantu merangsang ekonomi negara kerana selama ini rakyat memahami tidak berbelanja dan berjimat itu adalah lebih baik. Bagaimana rakyat boleh memahami empat teras rangsangan ekonomi yang diperkenalkan itu dan bagaiaman kedudukan kewangan negara serta masa depan negara juga rakyat dalam menghadapi suasana ekonomi sejagat ini. Semua ini perlu penjelasan dan huraian yang mudah difahami.

Marilah bersama-sama kita tingkatkan perpaduan dan penyatuan serta bersama-sama dalam perjuangan kita untuk menghadapi cabaran ini, dari peringkat pemimpin, pegawai dan kakitangan kerajaan serta swasta sehinggalah kepada rakyat biasa, termasuk peniaga, petani, nelayan dan semuanya.

Baca Selanjutnya......

PENGAJARAN DARI GAZA, PALESTIN.

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Menarik untuk direnungi tentang penderitaan umat Islam Palestin di Gaza yang derita akibat serangan pihak Israel yang tiada berperikemanusiaan.

Pembunuhan secara beramai-ramai terhadap warga Palestin, khususnya yang berada di Gaza tanpa mengira sesiapa, sama ada orang tua atau kanak-kanak bukan lagi perkara yang mengejutkan kerana kalau boleh Israel mahu lenyapkan terus warga Palestin dari buminya. Pengguguran bom kimia oleh tentera Israel sudah tidak menjadi kesalahan lagi dalam perang.

Sudah banyak peristiwa pembunuhan seperti itu sebelum ini ke atas rakyat Palestin yang tanahair mereka dirampas oleh Israel sehingga ramai di kalangan mereka menjadi ‘pelarian’ di merata tempat di bumi sendiri dan negara-negara jiran; bahkan ada yang sedang dipenjarakan oleh pihak lawan.

Memanglah menjadi hasrat pihak Israel mahu menghapuskan kewujudan umat Islam Palestin sejak sekian lama setelah kewujudan negara Isreal pada tahun 1947. Malanglah bagi umat Islam di Palestin, tanahair mereka dirampas, bangsa mereka pula mahu dihapuskan!

Bertambah malang lagi ketika berdepan dengan musuh yang nyata (Israel), umat Islam dan pimpinan di Palestin secara berterusan sejak sekian lama bertelagah sesama sendiri, merujuk kepada Fatah dan Hamas dan lain-lain kumpulan lagi.

Kumpulan Fatah (fatah bermaksud penaklukan) ialah Gerakan Nasional Pembebasan Palestin (Harakat at Tahrir al-Wathani al-Filasthini) yang wujud sejak tahun 1958 yang dipimpin oleh Allahyarham Yasser Arafat. Peringkat awalnya ia tidak terbabit sebagai parti politik tetapi akhirnya bergabung dengan dengan PLO (Organisasi Pembebasan Palestin) sebuah parti politik yang turut dipimpin oleh Yasser Arrafat.

Kumpulan Hamas (Harakat al-Muqawwamatul Islamiyah yang bermaksud Gerakan Perlawanan Islam )juga suatu kumpulan besar dan berpengaruh di Palestin. Hamas diasaskan oleh Syeikh Ahmad Yassin yang terpengaruh dengan gerakan Hassan Al Banna di Mesir.

Namun Hamas yang pada peringkat awalnya diwujudkan dengan restu Isreal pada tahun 1978 bagi tujuan menyaingi Fatah dan PLO (sebagai pemecah perpaduan di Palestin) menjadi musuh ketat Israel, bahkan tidak mahu mengakui atau mengiktiraf negara Israel sehingga sekarang. Syeikh Ahmad sendiri dibunuh oleh tentera Israel pada Mac 2004.


Fatah dan Hamas dua kumpulan terbesar yang sentiasa berseteru,walaupun dalam keadaan berdepan dengan musuh. Fatah yang berpadu dengan ‘Palestin Liberation Organisation’ atau PLO mendapat sokongan padu dari Presiden Mahmud Abas

Kumpulan Hamas yang menguasai Gaza tetap mempertahankan kedaulatan mereka. Mereka yang memenangi pilihanraya Palestin pada Mac 2006 merasakan mereka berhak untuk mengetuai kerajaan Palestin.

Walaupun sebelum ini Perdana Menteri Palestin dari kumpulan mereka Ismail Haniyeh, tetapi akhirnya Presiden Mahmud Abas (yang pro Fatah) yang menjadi Presiden Palestin sejak 2005 memilih Salam Fayyad sebagai Perdana Menteri yang sah bagi Palestin pada Jun 2007.

Kumpulan Hamas adalah kumpulan yang amat ekstrim yang sama sekali enggan mengakui kewujudan negara Israel, manakala kumpulan Fatah adalah mewakili kelompok yang pro perdamaian dengan Israel.

Peperangan saudara di antara Fatah dan Hamas terus menjadi-jadi, pada masa yang sama mereka pula terpaksa berdepan dengan Israel. Hamas dapat menduduki Gaza pun sebenarnya kerana kemenangan mereka merampas kawasan itu dari puak Fatah dan PLO. Apakah erti ini semua?

Umat Islam di Palestin perlu bersatu terlebih dahulu untuk berdepan dengan Israel. Negara-negara Islam yang berjiran dengan Palestin juga perlu memberi sokongan dan pertolongan kepada pihak Palestin dan bukannya turut menjadi alat kepada pihak Barat untuk meruntuhkan Palestin dan membina Isreal yang gemilang.

Apakah cukup dengan menghantar bantuan berupa pakaian, kewangan dan perubatan tanpa sama-sama memikirkan masa depan umat Islam Palestin itu sendiri. Tidak adakah suatu pihak yang mahu menjadi pengantara bagi menyatukan umat Islam di Palestin itu?

Yang pastinya pengajaran kepada kita, kalau kita berpecah sesame sendiri itulah akibatnya, seperti kata pepatah Melayu, bersatu kita teguh, bercerah kita roboh. Bagaimanakah kita di Malaysia?

Baca Selanjutnya......