Rabu, 11 Mac 2009

BERBELANJA MERANGSANG EKONOMI

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Melalui Bajet Mini yang dibentangkan oleh Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak, rakyat mendapat maklumat bahawa kerajaan telah memperuntukkan RM60 billion bagi merangsang kegiatan ekonomi.

Empat teras utama ialah mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan (RM2 billion), meringankan beban rakyat, terutama golongan mudah terjejas (RM10 billion), membantu sector swasta menghadapi krisis (RM29 billion) dan membina keupayaan masa depan (RM19 billion). Sebelum ini juga kerajaan telah memperuntukkan RM7 billion bagi tujuan yang sama. Semua ini bagi mengelak negara kita dari terjejas terus lantaran krisis ekonomi dunia.

Sama ada rakyat secara keseluruhannya sedar atau tidak bahawa negara sedang berdepan dengan krisis ekonomi global, hakikatnya dunia sekarang sedang dilanda krisis ekonomi yang tenat dan tempiasnya sedikit demi sedikit sedang melanda negara kita.

Negara kita yang amat bergantung kepada eksport (menjual barang atau perkhidmatan keluar negara) dan rakyat yang ada kaitannya dengan sektor tersebut telah mula terasa kesannya. Sebagaimana dilaporkan pada Januari tahun ini sahaja, kadar eksport negara jatuh hampir 28 peratus.

Harga kelapa sawit dan semua komiditi eksport mengalami penurunan harga yang mendadak. Pelaburan asing juga jatuh hampir separuh pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya, pada masa yang sama harga saham juga menjunam.

Pengangguran juga melanda negara kita; sejak Oktober 2008 dilaporkan 25,000 telah hilang pekerjaan, 30,900 orang telah diberhentikan sementara dan 23,900 telah bekerja dengan pengurangan gaji. Apakah ini disedari atau tidak oleh kita di Terengganu? Apakah kita sudah membuat persiapan untuk membantu sama negara berhadapan dengan masalah ini serta membantu merangsang semula ekonomi negara agar tidak terlalu tertekan dengan krisis ekonomi global itu atau sekurang-kurangnya sudahkah memohon doa kepada Allah agar negara kita terselamat?

Perkataan merangsang bolehlah difahami sebagai membangkitkan, menggiatkan atau mendorong. Bagaimana rakyat boleh membantu bagi menjayakan rangsangan ekonomi negara.; perkara ini perlu penghuraian serta penerangan yang jelas untuk rakyat dan akar umbi. Pemimpin dan ahli-ahli ekonomi boleh turun padang menerang dan memandu arah cara kepada akar umbi dan sudah tentu agensi di peringkat akar umbi seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu diberi kefahaman dan terlebih dahulu, untuk disampaikan pula kepada anak-buah.

Bagaimana perlunya rakyat mengetahui dan yakin bahawa berbelanja itu boleh membantu merangsang ekonomi negara kerana selama ini rakyat memahami tidak berbelanja dan berjimat itu adalah lebih baik. Bagaimana rakyat boleh memahami empat teras rangsangan ekonomi yang diperkenalkan itu dan bagaiaman kedudukan kewangan negara serta masa depan negara juga rakyat dalam menghadapi suasana ekonomi sejagat ini. Semua ini perlu penjelasan dan huraian yang mudah difahami.

Marilah bersama-sama kita tingkatkan perpaduan dan penyatuan serta bersama-sama dalam perjuangan kita untuk menghadapi cabaran ini, dari peringkat pemimpin, pegawai dan kakitangan kerajaan serta swasta sehinggalah kepada rakyat biasa, termasuk peniaga, petani, nelayan dan semuanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan