Ahad, 12 April 2009

KERAJAAN CAMPURAN SATU REALITI ATAU FANTASI?

Oleh : Ruslan bin Abdul Rahman

Politik Malaysia khususnya di kalangan umat Islam di negara ini dikejutkan dengan satu senario baru bila kepimpinan utama PAS (Presiden PAS) mengemukakan kesediaan untuk sama-sama berada dalam Kerajaan campuran.

Bermakna kalau sekarang Barisan Nasional (BN) yang memerintah Malaysia, PAS sedia bersama. Suatu perkembangan yang mengejutkan kerana selama ini ia dianggap sesuatu yang terlalu sukar, apa tidaknya sehinggakan orang-orang UMNO yang mengetuai kepemimpinan BN dituduhan kafir kerana berpadu dalam pakatan politik dan menubuhkan kerajaan. (sila rujuk berbagai fatwa yang dikeluarkan sebelum ini oleh pimpinan PAS).

Apabila cadangan sebaliknya dikemukakan (berpaling 90 darjah dari pegangan asal) sudah tentu ia perlu dibincang dan disepakati dengan penuh rasa kasih sayang dan melupakan cerita lama dan membuka ‘buku baru’ serta bertaubat kepada Allah di atas kesilapan yang lalu.

Kepemimpinan PAS perlu membuktikan keikhlasan berhubung cadangan penubuhan kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang di negara ini bukan sekadar gimik politik.

Tidak ada yang tidak sayangkan negara dan bangsanya dan tidak ada yang mahukan perpecahan berterusan melainkan semuanya inginkan sebuah perpaduan dan kerjasama. Semua sudah rasa mual hidup dalam sengketa terutama sesama sendiri, hingga membawa kafir-mengkafir sesama Islam. Namun setakat ini cadangan tersebut hanya sekadar cadangan tanpa sebarang butiran serta kenyataan rasmi daripada kepimpinan tertinggi parti berkenaan.

Tanpa mahu bersikap buruk sangka, hakikatnya jelas beliau PAS sebenarnya terikat dengan rakan-rakan pakatannya DAP dan PKR. Tetapi pimpinan tertinggi PAS pernah melahirkan bersedia untuk tidak bersama pakatan, terutama kalau pakatan mahu menubuhkan kerajaan jika sekiranya bukan Melayu Islam medominasikannya.

PAS mesti buktikan keikhlasan dan kesungguhan bukan sekadar cadangan semata-mata Yang penting adalah butiran rasmi mengenai perkara itu agar ia dapat dinilai dan diteliti oleh kedua-dua pihak khususnya kepimpinan UMNO/BN untuk tindakan selanjutnya.

Walaupun antara Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) dan Datuk Nik Aziz Nik Mat (Mursyidul Am PAS) bercanggah dalam perkara ini, tetapi jika semuanya jujur, ikhlas dan insaf itu semua boleh diselesaikan; kita tidak tahulah mana satu yang lebih berkuasa atau menjadi nakhoda sebenar, Presiden atau Mursyidul Am.

Adalah satu perkembangan yang baik demi kepentingan rakyat negara ini khususnya perpaduan di kalangan orang-orang Melayu dan juga bukan Melayui. Malah jika PAS berhasrat untuk bekerjasama dengan UMNO dan menarik balik semua tuduhan kafir kepada UMNO seperti sebelum ini pun tidak ada masalah dan kita yakin dan percaya pimpinan UMNO mengalu-alukan kerana UMNO bersikap terbuka.

UMNO dan BN dalam sejarahnya sentiasa bersikap terbuka kepada cadangan munasabah yang meletakkan kepentingan orang Melayu dan negara selain untuk kebaikan semua rakyat Malaysia, (dibuktikan melalui penubuhan Barisan Nasional 1974 dan penyertaan PAS dalam kerajaan waktu itu) tetapi sejauhmana keikhlasan pihak yang membuat cadangan itu. Apakah cadangan itu benar-benar datang dari keikhlasan dan rasa keinsafan; hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Kita tidak mahu ini hanyalah sekadar kenyataan gimik daripada pimpinan tertingginya yang ingin membersihkan imej penyebab perpececahan selama, imej kafir-mengkafir sesama Islam, imej melampau kepada imej baru yang lebih harmonis, Islamik dan diterima oleh pihak ramai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan