Rabu, 15 Julai 2009

PAKATAN PEMBANGKANG BUKANNYA PAKATAN RAKYAT

Ramai yang terkeliru mengenai beberapa istilah yang dipopularkan oleh pihak pembangkang. Misalnya istilah ‘pakatan rakyat’ yang seolah-olahnya kumpulan atau parti mereka ini disokong dan didokong oleh rakyat, manakala kumpulan atau parti lain sebaliknya.

Sebenarnya yang mengundi semasa pilihanraya adalah rakyat yang berdaftar sebagai pengundi dan keluar mengundi; mereka mewakili rakyat keseluruhannya tanpa mengira sama ada mereka ini menyokong mana-mana parti.

Kalau Barisan Nasional (BN) yang menang misalnya di Terengganu ini dan BN membentuk Kerajaan di Terengganu, bermakna ia juga adalah kerajaan yang dipilih dan disepakati secara majoriti oleh rakyat. Lantas ia juga adalah kerajaan hasil permuafakatan rakyat atau pakatan rakyat.

Begitulah juga kerajaan di peringkat negara kita sekarang iaitu Kerajaan BN yang juga dipilih melalui persepakatan rakyat secara majoriti. Jangan anggap kerajaan selain BN itu sahaja adalah hasil pakatan rakyat kerana semua kerajaan yang terbentuk melalui sistem demokrasi adalah kerajaan rakyat atau dipilih oleh rakyat, mungkin juga boleh disebut pakatan rakyat.

Maka Kerajaan BN ini juga sebenarnya pakatan rakyat dan kerajaan selain BN itu adalah kerajaan Pakatan Pembangkang dan penentang (PP). Misalnya PAS, DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah barisan yang pembangkang yang berpadu lalu membentuk kerajaan, maka kerajaan itu adalah Pakatan Pembangkang.

Kadang-kadang penyokong BN atau Umno sendiri terpengaruh dan terperangkap sama dengan istilah ciptaan pembangkang dengan memanggil sama kerajaan pembangkang itu dengan panggilan PR (pakatan rakyat).

Marilah kita tukar segera panggilan itu dan jangan terpengaruh dengan propaganda pembangkang yang seolah-olah rakyat tidak sukakan kerajaan yang ada sekarang dan menyokong mereka; sedangkan keseluruhan rakyat masih lagi berpakat menyokong kerajaan dan parti BN yang sedang memerintah negara kita sekarang ini.

Justeru itulah Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak sebaik menerima jawatan itu menegaskan rakyat adalah keutamaan kerajaan iaitu pendekatan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said lebih awal lagi menyebut sebaik dilantik bahawa rakyat perlu diberi keutamaan dengan pendekatan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.” Ini disebabkan kedua-dua pemimpin ini amat sedar dan insaf bahawa pakatan dan muafakat rakyatlah yang membolehkan mereka membentuk kerajaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan