Rabu, 8 Julai 2009

BELANJAKAN WANG BAKTI REMAJA UNTUK PERKARA YANG BERFAEDAH

Oleh : Ruslan Abdul Rahman

Pada tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM23 juta untuk Program Bakti Remaja Terengganu.


Jumlah RM200 yang diberikan kepada setiap remaja yang menyertai program ini tidaklah banyak, tetapi apabila membabitkan jumlah yang ramai, nilainya puluhan juta ringgit.

Sesudah sembilan tahun diperkenalkan program itu, tentulah telah ramai remaja berusia 21 tahun ke atas yang belum berkahwin dan tiada mempunyai pendapatan telah mengecapi pemberian kerajaan Barisan Nasional yang cakna remaja dan cakna rakyat ini.

Pemimpin Terengganu, khususnya Dato’ Ahmad Said melalui program ini sebenarnya cukup cakna dan sayang pada remaja. Maka sayang, kasih dan cinta itu hendaklah dibalas dengan perasaan yang sama juga.

Kepemimpinan, baik di peringkat negara diterajui Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak mahu pun negeri mengiktiraf sumbangan dan peranan golongan belia, baik sumbangan bakti kepada keluarga mereka atau masyarakat sekeliling.

Dato’ Sri Najib pernah menyatakan bahawa belia adalah aset penting negara yang perlu diberi perhatian.

Peranan belia, muda-mudi menjayaka apa juga perjuangan dan tamadun sudah banyak tercatat dalam pelbagai sejarah.

Misalnya hampir 95 peratus dari pendokong ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.aw dipelopori golongan muda-mudi. Nama-nama seperti Ali Abi Thalib, Saad bin Abi Waqas, Usamah bin Zaid, Bilal bin Rabbah, Aisyah bntui Abu Bakar, Asma’ binti Abu Bakar, Hafsah binti Omar, bahkan Fatimah anak Rasulullah sendiri adalah muda-mudi yang menjadi tenaga penting dalam perjuangan awal Rasulullah menjayakan visi dan misi agung.

Pemberian hadiah oleh kerajaan kepada golongan remaja sejak sembilan tahun yang lalu, anggaplah ia suatu yang amat bernilai, bukan di segi jumlahnya tetapi nilai kasih sayang dan kecaknaan di sebalik pemberian itu.

Remaja yang sedang bercinta dan mempunyai kekasih tentunya amat memahami sekali, mengerti nilai pemberian itu, walaupun kekasih sekadar memberi sehelai sapu tangan yang bernilai RM2, tetapi diabadikan sebaik mungkin kerana nilai pemberian itu terlalu tinggi!

Wang dana bakti remaja yang diberikan itu bukanlah sekadar untuk dihabiskan begitu sahaja. Kita harap remaja-remaja yang menerima wang ini supaya tidak menggunakan wang tersebut kepada benda-benda yang tidak mendatangkan manfaat.

Ertinya, wang yang diberikan itu bukan untuk tujuan membiayai kehidupan berfoya-foya atau dibelanjakan untuk perkara yang tidak mendatangkan manfaat, umpamanya membeli rokok, membeli minyak motosikal untuk merempit dan sebagainya lagi.

Justeru itulah setiap remaja yang menerima bantuan itu diberikan kursus atau sekurang-kurangnya mengikuti ceramah kesedaran, motivasi dan sebagainya agar terbina di dalam dirinya jati diri, keinsafan, kesedaran membina masa depan dan membuat perubahan diri ke arah yang lebih baik.

Walaupun RM200 yang diberikan kita juga perlu mendidik remaja itu tentang pengurusan kewangan yang bijak.

Persoalannya duit itu untuk berbelanja sesuka hati atau disimpan?

Golongan remaja kebanyakannya mungkin masih belajar dan belum berkerja tetap, maka secara umumnya masih belum terdedah kepada pelbagai bentuk skim pinjaman atau pelaburan sedia ada.

Bukan RM200 itu sahaja yang remaja ini perolehi Sebenarnya lebih dari itu dari sumber yang lain.Dari semasa ke semasa remaja bakal memperoleh wang, sama ada daripada ibu bapa atau penjaga, melalui pekerjaan sambilan, bersempena hari perayaan, pemberian biasiswa pelajaran, atau apa jua sumber yang halal dan berkat.

Justeru, dengan wang yang ada remaja mempunyai pilihan untuk membelanjakannya atau menyimpannya. Sebagai remaja, sememangnya terdapat kecenderungan untuk membelanjakan wang yang dimiliki demi memenuhi keperluan atau kemahuan diri. Apatah lagi dengan lambakan barangan jualan sama ada di premis membeli belah ataupun di alam siber.
Remaja yang bijak akan memikirkan masa depan pendidikan mereka, kerana dengan pendidikan mampu membawa keluar remaja daripada kancah kejahilan dan kemiskinan kepada tahap kehidupan yang lebih baik.

Peranan keluarga atau ibu bapa juga penting dalam hal ini.

Ibu bapa sebagai insan yang paling dekat dengan remaja mampu membimbing remaja mempraktikkan pengurusan kewangan secara bijak. Anak-anak tidak seharusnya dilimpahkan dengan kebebasan kewangan tanpa pengawasan ibu bapa terhadap mereka.
Ini kerana anak-anak mungkin cenderung untuk membelanjakan wang yang dimiliki untuk membeli barangan kemahuan diri sekiranya tidak dipupuk dengan kesedaran serta tabiat untuk berjimat dan menyimpan.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membantu anak-anak menguruskan wang mereka serta mengawasi apa yang dibeli oleh anak-anak.

Sebarang titik bengit dalam mengahdapi hidup bermasyarakat hendaklah dijauhi. Jangan lekas marah jika lambat diterima kerana proses kewangan kerajaan diurus dengan penuh etika dan amanah, tidak boleh gopoh-gapah tetapi mestilah mengikut sistem yang ditetapkan.

Kita bangunkan negeri dan negara kita, kampung halaman, keluarga dan masyarakat di sekeliling kita. Kita sebenarnya membangun dan merubah diri kita sendiri!

RM200 itu mungkin boleh dihimpun secara kumpulan menjadi jumlah yang lebih besar untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan, misalnya menjual burger, ikan bakar, satay atau membuka kios membaiki motosikal dan sebagainya. Tukarkan wang hadiah itu menjadi joran yang boleh membawa ikan yang lebih banyak lagi dan bukannya dijadikan ikan yang terus dimasak, dimakan dan habis.

Selepas ini pula 160,000 keluarga berpendapatan rendah di Terengganu pula akan menerima wang dana khas. Sungguh cakna dan merakyatnya Kerajaan Terengganu kita!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan