Khamis, 16 Julai 2009

100 HARI PM 475 HARI MB TERENGGANU

Oleh : Ruslan bin Abdul Rahman

Suatu persamaan konsep dan pendekatan



Ketika Dato’ Sri Mohd.Najib Tun Abdul Razak beberapa hari lalu berada di garisan perhitungan 100 hari sebagai Perdana Menteri Malaysia, bagi Dato’ Ahmad Said ia merupakan Menteri Besar Terengganu yang mencapai angka lebih kurang 450 hari atau setahun tiga bulan. Suatu jarak hari yang tidak jauh bezanya.

Dato’ Ahmad yang dilantik sebagai Menteri Besar pada 23 Mac 2008 mencapai 100 hari pentadbirannya pada 30 Jun tahun berkenaan.

Tidak kiralah berapa hari usia mentadbir dan menerajuinya. Yang ingin dijelaskan di sini ialah beberapa ciri persamaan yang ada antara Dato’ Sri Mohd.Najib yang memimpin negara dan Dato’ Ahmad Said di peringkat negeri Terengganu.

Persamaan pendekatan dalam memacu pentadbiran dan pembangunan negara/negeri dipaparkan dalam tulisan saya ini.

Perdana Menteri melalui konsep 1 Malaysia, menjelaskan melalui slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Dato’ Ahmad Said sebaik dilantik sebagai Menteri Besar sebenarnya juga telah menyatakan biarlah segala pembangunan memberi manfaat dan faedah kepada rakyat. Beliau lalu memperkenalkan pendekatan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.”



Dato’ Najib menjadikan ‘turun padang’ melawati rakyat di mana sahaja, di lorong-lorong sesak mahupun di kawasan perniagaan golongan bawahan. Dato’ Najib mahu mendengar sendiri rintihan rakyat, keperluan sebenar rakyat dan menyelesaikan segera masalah rakyat.

Dato’ Sri Najib tidak mahu kehadirannya menemui rakyat disambut dengan permaidani merah, perkara yang sama juga pernah diucapkan oleh Dato’ Ahmad sewaktu menemui kakitangan kerajaan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, beberapa bulan selepas beliau dilantik Menteri Besar.

Dato’ Sri Najib mahu menghayati dan memahami sendiri perasaan dan denyut nadi rakyat Mungkin apa yang diberi perhatian itu kecil bagi orang kaya, tapi besar nilainya di sisi rakyat marhain.

Dato’ Ahmad juga tiga bulan lepas memperkenalkan konsep 5M untuk dihayati oleh pegawai dan kakitangan kerajaan dan pimpinan semua peringkat, di antara dari lima ‘M’ itu ialah ‘Menjiwai, Menghalusi dan Memahami’. Dua perkara lagi ialah ‘Melaksana” dan “Memantau”.



Dato’ Ahmad berbicara mengenai tentang rumah rakyat yang beratap zing berkarat ‘merah’ bocor dan basah bila hujan. Untuk ganti atap rumah rakyat sahaja ratusan ribu diperuntukkan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri. Beliau turun sendiri memantau dan bergotong-royong bersama rakyat, membaiki atap rumah rakyat yang bocor. Rakyat yang miskin di pinggir Bandar di Paya Bunga juga dilawati sebaik menjadi Menteri Besar.

Ramai yang tertanya-tanya bila seorang Menteri Besar bercakap mengenai atap dan bantuan atap, ubi gadung makanan orang miksin. Tidak bercakap mengenai perkara-perkara besar dan mega.

Beliau tidak hiraukan cemuhan dan kata-kata yang cuba merendah-rendahkannya. Beliau umumkan pemansuhan caj bayaran pemasangan meter air walaupun bernilai 80 sen. Diperkenalkan projek ladang kelapa sawit untuk keluarga miskin tegar. Menteri Besar rakyat ini perkenalkan bantuan RM1,000 untuk pelajar-pelajar tingkatan enam di Terengganu.

Yang paling utamanya beliau berusaha mendapatkan semula royalti minyak dan berjaya. Tujuannya wang itu bolehlah untuk merangsang pembangunan ekonomi Terengganu.

Hari ini segala kritikan isu atap, ubi gadung untuk mengenengahkan semula makanan orang miskin suatu masa dahulu dan lain-lain yang dianggap remeh, terjawab apabila pemimpin nombor satu negara juga berbuat demikian, iaitu memberi keutamaan kepada hal-hal rakyat bawahan dan miskin (perkara-perkara kecil bagi orang besar, tapi besar bagi orang kecil).



Dato’ Sri Mohd. Najib antara lain memberikan diskaun kadar tol 20 peratus untuk rakyat yang berulang-alik ke tempat kerja, penurunan bayaran untuk mendapatkan lesen motosikal, pemberian 7,000 permit untuk pemandu teksi persendirian, diskaun 50 peratus bayaran lesen peniaga kecil di Wilayah Persekutuan dan rumah Projek Perumahan Rakyat yang disewakan oleh rakyat boleh dibeli untuk dimiliki.

Kecil bagi orang besar, tetapi besar bagi orang kecil. Pengurangan kos bayaran untuk mendapatkan lesen motosikal dari RM541 sebelum ini kepada RM211 adalah contoh terbaik bagi ungkapan itu.

Dato’ Najib juga berusaha mendapatkan RM60 billion untuk pakej kedua rangsangan ekonomi Malaysia dan Dato’ Ahmad terus berjuang mendapatkan mendapatkan RM1.4 billion wang royalti untuk memacu pembangunan Terengganu.

Mutakhir ini, Dato’ Ahmad melonjak ke hadapan melalui pemikiran kreatif,membuat suatu anjakan paradigma dalam dunia pendidikan dengan memperkenalkan e-Book atau buku elektronik untuk semua pelajar Tahun Lima dahulu di semua sekolah rendah di Terengganu.

Murid miskin hatta golongan dari keluarga termiskin yang tidak pernah kenal laptop, kini berduyun-duyun ke sekolah membimbit laptop (e-Book) tanpa menggalas beg berat lagi. Demikian penghayatan jiwa rakyat Dato’ Ahmad dizahirkan menjadi kenyataan.

Sesungguhnya Dato’ Ahmad yang dilahirkan dari sebuah keluarga petani miskin di Telok Kalong Kemaman sebenarnya mempunyai kelebihan dalam memahami sebenar denyut nadi rakyat bawahan. Justeru itulah beliau berulang kali menyebut bahawa pembangunan dan pentadbiran mestilah untuk manfaat rakyat.

Pun begitu Dato’ Najib yang sentiasa dari kecil mengikuti ayahandanya Tun Abdul Razak Husien menemui dan memesrai rakyat, bersama ke pelusuk kampong, di pekan mahupun desa, menjejaki Bapa Pembangunan kepada rakyat Malaysia; sesungguhnya Dato’ Sri Najib juga turut merasai dan memahami dari awal denyut nadi rakyat itu.

Kalau Tun Abdul Razak digelar sebagai ‘Bapa Pembangunan Malaysia’, Dato’ Sri Najib suatu hari nanti bolehlah diungkapkan sebagai ‘ Bapa Merakyatkan Pembangunan Malaysia.” Tahniah Dato’ Sri Najib dan Dato Ahmad kerana rakyat didahulukan dan merakyatkan pentadbiran dan pembangunan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan