Ahad, 15 Februari 2009

Keputusan rakyat

Keputusan telah dibuat oleh pengundi Pilihan Raya Kecil P036 Kuala Terengganu. Calon PAS memperolehi 32,883 undi, Barisan Nasional (BN) 30,252 undi manakala Bebas hanya meraih 193 undi. Manakala undi rosak 665 undi dan peratus keluar mengundi ialah 79.9 peratus.

Bermakna 19.1 peratus atau seramai 16,236 tidak mengundi. Jumlah yang tidak keluar mengundi ini sebenarnya mencorak keputusan pilihan raya itu. Mengapa tidak mengundi, hanya mereka sahaja yang tahu. Ada kemungkinan kerana memprotes sesuatu yang tidak disenangi atau kegagalan jentera mana-mana parti yang bertanding untuk mengesan pengundi ini.

Apa pun keputusannya, BN tetap berpendirian mahu meneruskan komitmen untuk meneruskan khimat kepada rakyat walaupun calon mereka tidak terpilih,sepertimana ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak semasa sidang media selepas pengumuman keputusan itu. Menteri Besar, Dato” Ahmad Said, pula menegaskan “ walaupun BN gagal memperolehi kerusi P036, konsep mesra rakyat dan merakyatkan pembangunan dan pentadbiran di Terengganu akan terus diperhebatkan.”

Pada masa yang sama, penyokong Pas terlampau gembira dengan kemenangan itu dan mereka beramai-ramai berarak mengelilingi bandar, membunyikan hon kenderaan kuat-kuat, sekalipun di kawasan hospital, menjerit-jerit dengan kata-kata kesat kepada pemimpin BN, bahkan kerana terlalu ghairah ada penyokong parti itu bertindak menjatuhkan bendera dan poster BN. Demikianlah beza dua penampilan yang amat ketara antara BN yang menerima kekalahan dan Pas yang memperolehi kemenangan.

Sebagai sebuah kerajaan yang dipilih majoriti rakyat, baik di peringkat Pusat mahupun Negeri Terengganu, BN menyifatkan kegagalan itu sebagai ujian untuk meningkatkan kualitinya dan keyakinan rakyat terhadap kebaikan dan kemantapannya.

BN bukan sahaja perlu berkualiti, tetapi hebat dan menawan. Ini kerana keputusan manusia adalah berdasarkan penglihatan dan rasa berkenan di hatinya. Seorang jurujual yang bijak mampu menjual barangannya sekalipun tidak berkualiti berbanding jurujual barangan berkualiti tetapi gagal memberi keyakinan kepada pengguna.

Ini perlu dipelajari bagaimana kemahiran berkempen sebenarnya merupakan kemahiran komunikasi. Kaedah-kaedah baru dalam kempen perlu diperkenalkan, teknik dan mempelajari ilmu dan strategi komunikasi adalah penting dalam mempengaruhi pengundi sama ada pada peringkat dasar atau peringkat pengamalannya.

Ada pihak yang merasuah kepada pengundi lebih hebat, datang membawa hadiah rumah ke rumah semasa berkempen, tetapi sebaliknya ia mampu menuding kepada lawannya yang memberi rasuah dan terdapat pula orang yang percaya bahawa mereka dikepung. Mereka turut menyamar dan mengejar pencuri sambil melaungkan, pencuri! pencuri!, walaupun dialah sebenarnya pencuri.

Selepas ini, Pas dan sekutunya terus dengan agenda ceramahnya bagi meraikan kemenangan dan mereka akan terus menabur janji untuk membela pengundi. Jangan pula pemimpin Pas bersikap meminta undi dan amanah diberi kepada Pas, pertolongan dan perkhimatan minta diajukan kepada BN.

Rakyat akan membuat pilihan semula, khususnya pada pilihan raya umum ke-13 (PRU 13). Sama ada pemimpin dan penyokong BN, mahu pun di pihak Pas dan sekutunya sudah pasti akan terus bersaing menawan hati pengundi dan rakyat!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan