Ahad, 15 Februari 2009

Golongan muda perlu kenal UMNO

Pergerakan Pemuda Umno Kuala Terengganu, akan mencari pendekatan terbaik bagi merapatkan lagi hubungan golongan muda dengan UMNO.

Ketuanya, Badrol Hisham Zaki, berkata Pemuda akan mendekati golongan muda bagi memberi penerangan dan pendedahan perjuangan Umno kepada golongan ini.

“Apabila mereka tahu sejarah tentang perjuangan Umno, kita yakin mereka akan sedar tanggung jawab mereka kepada negara sekaligus menterjemahkannya di atas kertas undi.

“Ini penting kerana hari ini ramai anak muda berbicara tentang Umno, tetapi mereka tidak tahu sejarah perjuangan Umno,” katanya ketika dihubungi.

Badrol berkata, usaha untuk mesrakan lagi golongan muda dengan UMNO amat penting supaya parti dapat mengetahui dengan lebih jelas lagi kehendak mereka.

Katanya, Pemuda Kuala Terengganu kini sedang merangka beberapa program bagi golongan muda dan akan dilaksanakan selepas analisa kekalahan Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu dibentangkan.

Menurut beliau, analisa itu penting bagi mengenal pasti punca kemerosotan undi daripada pengundi muda, sekaligus bagi membaiki segala kelemahan yang ada.

“Sebenarnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak kehilangan pengundi muda, namun golongan muda yang menyokong Umno dan BN ramai tidak keluar mengundi.

“Inilah punca yang perlu kita cari, mengapa mereka tidak keluar menunaikan tanggungjawab. Apakah kerana mereka tidak ada kesedaran atau pun ada janji belum ditunaikan, mahupun kelemahan yang gagal kita atasi,” katanya.

Beliau berkata, setelah segala kelemahan dikenal pasti, Pemuda akan mengambil langkah drastik untuk mengembalikan semula sokongan golongan muda pada UMNO dan BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan