Ahad, 15 Februari 2009

UMNO yakin rampas semula KT – MB

Oleh : HASPAIZI MOHD ZAIN

UMNO yakin dapat merampas kembali kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang kini menjadi milik PAS setelah Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Kecil Parlimen itu, 17 Januari lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Ahmad Said, berkata beberapa perubahan akan dilakukan bagi merampas kembali Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya akan datang.

“Kita tidak perlu lagi bercakap pasal kekalahan lalu, sebaliknya kita perlu bekerja lebih kuat lagi dan mengatur strategi bagi merampasnya kembali. Saya yakin pilihan raya akan datang, Kuala Terengganu akan menjadi milik BN.

“UMNO sudah ada satu unit khas yang akan membuat penilaian serta rumusan terhadap kekalahan itu dan tindakan segera akan diambil bagi membaiki kelemahan,” katanya.
Beliau memberitahu pemberita demikian selepas Majlis Memasak Bubur Asyura Perdana, anjuran penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal, di perkarangan Masjid Meraga Beris, Kijal, baru-baru ini.

Mengulas mengenai beberapa laporan media elektronik tempatan yang berpendapat, kekalahan BN pada pilihan raya kecil itu adalah disebabkan cara berkempen tidak mesra rakyat, beliau berkata ia hanya berupa pandangan peribadi.
Katanya, sesiapa sahaja berhak menyatakan pandangan tersendiri mengenai punca kekalahan BN pada pilihan raya itu.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu, sekali lagi menegaskan bahawa pembangunan di Kuala Terengganu tetap diteruskan walaupun kawasan itu dimenangi PAS.

“Kerajaan akan meneruskan pembangunan di Kuala Terengganu seperti mana yang dirancang sebelum ini, segala janji kerajaan kepada rakyat Kuala Terengganu akan ditunaikan.

“Bagi pihak kerajaan kita tidak pernah mungkir janji, apa yang kita janjikan akan kita laksanakan walaupun dalam keadaan rakyat mungkir janjinya terhadap kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan komited untuk membangunkan Kuala Terengganu bagi menyediakan segala kemudahan kepada rakyat.

“Dakwaan bahawa kerajaan negeri akan menghentikan pembangunan di Kuala Terengganu adalah tidak berasas,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan