Ahad, 8 Februari 2009

KEPUTUSAN RAKYAT

oleh Ruslan bin Abdul Rahman

Keputusan telah dibuat oleh pengundi pilihan raya kecil P.036 Kuala Terengganu. Calon Pas memperolehi 32,883 undi, calon Barisan Nasional (BN) 30,252 manakala calon bebas hanya mampu meraih193 undi. Manakala undi rosak 665 undi dan peratus keluar mengundi ialah 79.9 peratus.

Bermakna 19.1 peratus atau seramai 16,236 tidak mengundi. Jumlah yang tidak keluar mengundi ini sebenarnya mampu mencorak keputusan. Mengapa tidak mengundi, hanya mereka sahaja yang tahu.

Ada kemungkinan kerana memprotes sesuatu yang tidak disenangi atau kegagalan jentera mana-mana parti yang bertanding untuk mengesan para pengundi ini.

Apa pun keputusannya, BN tetap berpendirian mahu meneruskan komitmen untuk meneruskan khidmat kepada rakyat walaupun calon mereka tidak terpilih, sepertimana ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd.Najib Tun Razak semasa sidang media selepas pengumuman keputusan.

Begitu juga ditegaskan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said bahawa konsep mesra rakyat dan merakyatkan pembangunan dan pentadbiran di Terengganu akan terus diperhebatkan.

Sebagai sebuah kerajaan yang dipilih oleh majoriti rakyat, baik di peringkat pusat mahupun Negeri Terengganu, BN menyifatkan itu sebagai ujian untuk mempertingkatkan kualitinya.

BN bukan sahaja perlu berkualiti, tetapi perlu dilihat berkualiti, hebat dan menawan. Ini kerana keputusan manusia adalah berdasarkan penglihatan dan rasa berkenan di hatinya.

Seorang jurujual yang bijak mampu menjual barangannya sekalipun tidak berkualiti berbanding jurujual barangan yang berkualiti tetapi gagal memperlihat dan meyakinkan pengguna.

Ini perlu dipelajari bagaimana kemahiran berkempen, sebenarnya merupakan kemahiran-kemahiran komunikasi.

Kaedah-kaedah baru dalam kempen perlu diperkenalkan, teknik dan mempelajari ilmu dan strategi komunikasi adalah penting dalam mempengaruhi pengundi sama ada pada peringkat dasar atau peringkat pengamalannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan